MIRI, 12 Oktober: Sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) terbakar di bahagian enjin dalam kejadian di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hua, Jalan Drighton, di sini, awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.10 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri tiba di lokasi tiga minit kemudian.
Menurutnya, kebakaran memusnahkan 100 peratus bahagian enjin kenderaan berkenaan, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) menjalankan kerja pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula dengan sumber air daripada tangki jentera.
“Kebakaran berjaya dikawal pada 1.27 pagi sebelum operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada 1.50 pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pasukan bomba turut menjalankan kerja-kerja pemeriksaan bagi memastikan tiada bara api yang berpotensi menyebabkan kebakaran berulang.
Operasi melibatkan tujuh anggota BBP Miri
dengan bantuan sebuah jentera bomba dan sebuah kenderaan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS). Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berada di lokasi.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Oleh Liong Chai Ling





