KUCHING, 11 Oktober: Seorang wanita berusia 35 tahun ditemukan rentung selepas sebuah rumah di Jalan Taman Kim Pang di sini musnah sepenuhnya dalam kebakaran petang tadi.
Mangsa ditemukan pasukan bomba pada 4.36 petang ketika operasi mencari dan menyelamat dijalankan selepas wanita itu dilaporkan terperangkap di dalam rumah berkenaan.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya, PBK I Pandi Seh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.57 petang sebelum tiba di lokasi pada 4.15 petang dengan bantuan anggota dari BBP Batu Lintang.
Kebakaran melibatkan sebuah rumah satu tingkat berstruktur separuh kekal berkeluasan kira-kira 40 x 30 kaki persegi yang dilaporkan musnah 100 peratus. Rumah itu dihuni enam orang.

Pasukan bomba menjalankan operasi mencari mangsa dan memadam kebakaran menggunakan satu aliran hos sepanjang 200 kaki, dua nozel serta satu aliran salur bantu mula dengan bekalan air daripada tangki jentera.
Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi pemadaman berjaya dikawal pada 4.25 petang, sebelum kerja-kerja pemeriksaan dan pengalihan bahan dilakukan bagi memastikan api padam sepenuhnya.
Operasi ditamatkan pada 6.09 petang dengan kekuatan keseluruhan 17 anggota menggunakan dua jentera bomba dan sebuah kenderaan perubatan kecemasan (EMRS). Pihak polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut berada di lokasi kejadian.
Oleh Afiq Sallehi




