PETRA JAYA, 12 Oktober: Giatmara Negeri Sarawak terus membuktikan keberkesanan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dalam melahirkan tenaga kerja mahir serta usahawan berjaya apabila mencatatkan kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 99.8 peratus pada 2025.
Ahli Lembaga Pengarah Giatmara, Meor Mohd Khairy Meor Abdullah Zawawi berkata, pencapaian itu memperlihatkan keupayaan institusi berkenaan melahirkan graduan yang bukan sahaja memiliki kemahiran teknikal, malah berdisiplin, berdaya tahan dan mempunyai jati diri yang kukuh.
Menurutnya, Giatmara memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan negara dengan menyediakan tenaga kerja kompeten yang mampu memenuhi keperluan industri serta bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Giatmara bukan sahaja melahirkan graduan yang memiliki kemahiran teknikal, tetapi turut membentuk individu yang berdisiplin, berdaya tahan dan mempunyai jati diri yang kukuh.
“Inilah kekuatan sebenar yang membezakan graduan TVET dalam landskap pekerjaan masa kini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi Giatmara Malaysia Ke-39 Negeri Sarawak di Dewan Wisma Melayu Sarawak, Petra Jaya, hari ini.
Meor Mohd Khairy berkata, seramai 928 pelatih GIATMARA Sarawak berjaya menamatkan latihan dan layak menerima sijil pada 2025, manakala 404 graduan menghadiri majlis graduasi bagi menerima pengiktirafan atas kejayaan masing-masing.
“Lebih membanggakan, enam graduan turut menerima Anugerah Eksekutif, iaitu pengiktirafan kepada individu yang menyerlah bukan sahaja dari aspek kemahiran, tetapi juga disiplin, kepimpinan dan pembentukan sahsiah,” katanya.
Menurutnya, kecemerlangan Giatmara tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah graduan semata-mata, sebaliknya turut dinilai berdasarkan keupayaan mereka membina kerjaya, menceburi bidang keusahawanan dan meningkatkan kemahiran ke tahap lebih tinggi.
Beliau berkata, kadar kebolehpasaran sebanyak 99.8 peratus menjadi petunjuk bahawa latihan kemahiran mampu membuka laluan pekerjaan yang luas kepada anak-anak Sarawak.
“Dalam bidang pertandingan kemahiran, Giatmara Sarawak turut mencatat kejayaan menerusi Pertandingan Kemahiran Malaysia (WorldSkills Malaysia) Sarawak 2025 apabila peserta institusi itu meraih dua pingat emas, empat perak, satu gangsa serta tujuh Medallion of Excellence.

“Kejayaan itu turut membolehkan empat peserta Giatmara Sarawak melangkah ke peringkat akhir WorldSkills Malaysia Belia (WSMB) 2026 dalam bidang Teknologi Automotif, Dandanan Rambut, Pengecatan dan Hiasan serta Fesyen dan Teknologi,” jelasnya.
Peserta berkenaan mewakili Giatmara Miri, Giatmara Petra Jaya, Giatmara Saratok dan Giatmara Kanowit.
Pencapaian itu memperlihatkan potensi anak-anak Sarawak untuk mengembangkan bakat dalam pelbagai bidang kemahiran serta melangkah ke pentas pertandingan yang lebih tinggi.
Dalam usaha memastikan latihan yang ditawarkan kekal relevan dengan perkembangan teknologi, Giatmara turut memperkukuh kerjasama strategik dengan rakan industri, termasuk Modenas.
Kerjasama itu menyokong pelaksanaan latihan penyelenggaraan motosikal elektrik di Giatmara Kota Samarahan, sekali gus memberi peluang kepada pelatih menguasai teknologi kenderaan elektrik yang semakin berkembang.
“Hasil kerjasama berkenaan, lima pelatih Giatmara Kota Samarahan menerima tawaran pekerjaan dengan gaji premium, membuktikan kepentingan hubungan erat antara institusi latihan dengan pihak industri.
“Keberkesanan latihan Giatmara turut terserlah menerusi kisah kejayaan graduannya yang berjaya membina kerjaya berpendapatan tinggi,” katanya.
Antaranya ialah Selani Mahadi, graduan Kursus Teknologi Kimpalan Giatmara Santubong, yang kini bekerja sebagai jurukimpal profesional di Sepanyol dengan pendapatan mencecah RM16,000 sebulan.
Seorang lagi graduan, Ahmad Hijan Abdullah Jaini dari Kursus Teknologi Automotif Giatmara Miri, pula bekerja sebagai mekanik di Hon Seng Automobile & Service dengan pendapatan RM8,000 sebulan.
“Kejayaan itu menunjukkan bahawa latihan kemahiran mampu menjadi laluan kepada kerjaya profesional yang menawarkan pendapatan kompetitif, termasuk peluang pekerjaan di luar negara,” ujarnya.

Selain melahirkan tenaga kerja mahir, Giatmara Sarawak turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi menerusi graduan yang berjaya membina perniagaan sendiri dan menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
Graduan Giatmara Mukah, Faizul Nizan Let, misalnya, merupakan pengusaha Hamizan Arif Group Sdn Bhd, sebuah syarikat pembinaan yang menyediakan pekerjaan kepada 30 pekerja tempatan dan mencatatkan pendapatan tahunan RM16.6 juta pada 2025.
Sementara itu, Sulaiman Ibrahim, graduan Giatmara Bandar Kuching, berjaya mengembangkan bengkel dan pusat servis keretanya daripada perniagaan bermodal RM10,000 kepada perniagaan yang mencatatkan pendapatan sehingga RM1.8 juta setahun pada 2025. Perniagaannya kini mempunyai 11 pekerja.
Seorang lagi graduan, Ismail Hanizam Safri dari Giatmara Stampin, pula berjaya membangunkan perniagaan kafe dan restoran yang menggaji 14 pekerja serta mencatatkan jualan melebihi RM600,000 pada tahun sama.
“Kisah kejayaan ketiga-tiga usahawan berkenaan turut diabadikan dalam naskhah Permata Biru 2.0 sebagai inspirasi kepada graduan lain untuk menceburi bidang keusahawanan,” tambahnya.
Menurut Meor Mohd Khairy, pencapaian itu membuktikan graduan TVET bukan sekadar pencari kerja, malah berupaya menjadi pencipta peluang pekerjaan, penggerak ekonomi dan penyumbang kepada pembangunan negeri serta negara.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan graduan adalah hasil gabungan komitmen tenaga pengajar, sokongan ibu bapa, kesungguhan pelatih serta pelaksanaan sistem latihan yang sentiasa disesuaikan dengan kehendak industri.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan para graduan supaya tidak berpuas hati dengan pencapaian semasa, sebaliknya terus meningkatkan kemahiran, memperkukuh nilai diri dan berani merebut peluang dalam pasaran pekerjaan yang semakin kompetitif.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua graduan, ibu bapa, tenaga pengajar, warga Giatmara serta rakan industri yang terus menyokong agenda pembangunan TVET negara.
Katanya, setiap graduan diharap dapat membawa nama baik Giatmara dan Mara, membanggakan keluarga serta menjadi tenaga mahir, usahawan dan pemimpin masa hadapan yang menyumbang kepada kemajuan Malaysia.
Oleh Adi Safarman





