Firefly lanjut pembatalan penerbangan Subang-Seletar hingga 14 Oktober akibat jerebu

Facebook
WhatsApp
FIREFLY batal penerbangan Subang-Seletar susulan keadaan jerebu, cuaca. Foto Bernama

SINGAPURA, 12 Oktober: Firefly melanjutkan pembatalan penerbangan berjadual antara Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang dan Lapangan Terbang Seletar di Singapura hingga 14 Oktober berikutan keadaan cuaca dan jerebu semasa.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu, yang merupakan anak syarikat milik penuh Malaysia Airlines, sebelum ini membatalkan semua penerbangan antara Subang dan Seletar dari 10 hingga 12 Oktober sebagai langkah berjaga-jaga demi keselamatan penumpang.

Dalam nasihat perjalanan, syarikat penerbangan itu memaklumkan bahawa pembatalan berkenaan melibatkan enam pasangan penerbangan harian, iaitu FY3122 dan FY3123, FY3124 dan FY3125, FY3126 dan FY3127, FY3128 dan FY3129, FY3130 dan FY3131, serta FY3132 dan FY3133.

“Penumpang yang terjejas sedang dihubungi untuk diaturkan semula ke penerbangan Malaysia Airlines yang tersedia menerusi laluan Kuala Lumpur-Singapura, tertakluk kepada kekosongan tempat duduk.

“Penumpang yang memilih untuk tidak meneruskan perjalanan menerusi penerbangan yang diaturkan semula itu layak menerima bayaran balik penuh, yang akan dikreditkan ke kaedah pembayaran asal dalam tempoh 30 hari bekerja,” menurut kenyataan itu pada Isnin.

Sementara itu, kualiti udara di Singapura kekal pada tahap tidak sihat pada Isnin, dengan Indeks Piawaian Pencemar (PSI) bagi tempoh 24 jam mencatatkan bacaan antara 118 hingga 155 setakat 7.00 malam ini, menurut Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA).

Bacaan PSI di kawasan tengah dan barat masing-masing berada pada paras 155, diikuti timur (139), selatan (122) dan utara (118). – Bernama