JULAU, 12 Oktober: Kedudukan geografi dan latar belakang keluarga bukan penghalang kepada pelajar luar bandar untuk mencapai kecemerlangan akademik serta bersaing dalam bidang sains, teknologi dan inovasi di peringkat lebih tinggi.
Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata, pelajar luar bandar mempunyai potensi untuk mencapai kejayaan setanding dengan pelajar di bandar sekiranya diberikan peluang, kemudahan pembelajaran dan bimbingan yang sewajarnya.
Katanya, perkembangan teknologi masa kini menuntut generasi muda menguasai kemahiran digital dan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sebagai persediaan menghadapi cabaran pendidikan serta kerjaya masa hadapan.
“Peperiksaan SPM yang bakal anda hadapi tidak lama lagi bukanlah penamat, tetapi ia adalah kunci utama untuk membuka pintu gerbang masa depan.
“Saya tahu, cabaran belajar di kawasan luar bandar seperti Julau ini menuntut pengorbanan yang bukan sedikit.
“Namun ingatlah, geografi dan latar belakang keluarga bukanlah penghalang untuk anda bersaing secara sihat dengan murid-murid lain di bandar-bandar besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Julau 2026 di sebuah hotel pada kelmarin.
Tambahnya, komitmen terhadap pembangunan pendidikan di Julau diterjemahkan menerusi peruntukan RM140,000 yang disalurkan pada 2024.
“Dunia hari ini bergerak pantas ke arah era digital. Sebagai Ahli Parlimen anda, komitmen saya terhadap pendidikan di Julau amat jelas.
“Misalnya di SMK Julau, saya telah mengagihkan peruntukan sebanyak RM140,000 khusus untuk SMK Julau membina Bilik Mesyuarat Digital dan Bilik STEM,” katanya.

Larry turut mengumumkan peruntukan tambahan RM20,000 kepada SMK Julau bagi 2027 sebagai kesinambungan sokongan terhadap pembangunan pendidikan dan kemudahan sekolah berkenaan.
Jelasnya, penyediaan infrastruktur pembelajaran moden penting bagi membolehkan pelajar meneroka bidang teknologi serta mengembangkan kreativiti dan kebolehan menghasilkan inovasi.
Beliau turut memuji usaha pihak sekolah menyediakan kemudahan teknologi seperti dron dan realiti maya (VR) bagi memperluas pengalaman pembelajaran pelajar.
“Infrastruktur ini disediakan adalah untuk memastikan anak-anak SMK Julau tidak ketinggalan dalam bidang sains, teknologi, dan kemahiran digital.
“Saya mahu melihat anak-anak yang bergraduasi hari ini menjadi generasi Julau yang celik teknologi, inovatif dan mampu membawa nama daerah kita ini ke peringkat global. Selepas SPM nanti, teruskan meneroka ilmu-ilmu baharu ini,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Larry mengingatkan calon SPM 2026 supaya memanfaatkan baki masa sebelum peperiksaan untuk memperkukuh persediaan akademik, selain menjaga kesihatan fizikal dan emosi.
“Gunakan baki masa yang ada sebelum dewan peperiksaan dibuka untuk melakukan pecutan akhir.
“Fokus, dengar nasihat guru dan yang paling penting, jaga kesihatan serta emosi anda,” katanya.
Menyentuh peluang melanjutkan pengajian, beliau berkata, Tabung Pendidikan Larry Sng (LSEF) diwujudkan bagi membantu anak-anak Julau yang berjaya memasuki institusi pengajian tinggi pada peringkat ijazah pertama.
Menurutnya, insentif tunai tahunan menerusi tabung tersebut merupakan antara usaha membantu meringankan beban kewangan pelajar, sekali gus menggalakkan lebih ramai anak muda meneruskan pengajian.
“Jangan takut untuk bercita-cita tinggi. Jangan risau tentang kekangan kewangan untuk melanjutkan pelajaran selepas SPM nanti.
“Pihak pejabat Parlimen Julau sentiasa berdiri teguh di belakang anda,” ujarnya.
Larry turut merakamkan penghargaan kepada Pengetua SMK Julau, Madline Jayan, barisan guru dan ibu bapa atas komitmen serta pengorbanan mereka dalam membimbing pelajar mencapai kecemerlangan.
Beliau berharap kerjasama berterusan antara pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat dapat memastikan generasi muda Julau memperoleh peluang pendidikan yang lebih baik serta mampu menyumbang kepada pembangunan kawasan pada masa hadapan.
Oleh Earl Anek





