KUCHING, 11 Oktober: Seramai 200 pelajar menyertai Program SKILLBOX@Kelab Malaysiaku 2026 Zon Sarawak bagi memperkukuh kemahiran insaniah, kepimpinan, jati diri dan semangat patriotisme menerusi pelbagai aktiviti interaktif sepanjang tiga hari dua malam.
Pengarah Jabatan Penerangan (Japen) Sarawak, Sabri Said berkata, program yang berlangsung dari 9 hingga 11 Oktober itu memberi peluang kepada pelajar membina keyakinan diri, mengasah bakat kepimpinan dan mengenal pasti potensi masing-masing sebagai persediaan menghadapi cabaran masa hadapan.
Menurutnya, daripada 51 sekolah yang mempunyai Kelab Malaysiaku di Sarawak, hanya lima sekolah dipilih untuk menyertai program berkenaan, menurut hantaran di laman Facebook rasmi Japen.
“Program ini turut menjadi medium untuk memperkukuh kerjasama antara Japen Sarawak dengan pihak pendidikan dan sekolah,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program SKILLBOX@Kelab Malaysiaku 2026 Zon Sarawak di sini, hari ini.
Beliau berkata, pengalaman sepanjang program penting dalam membentuk pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mampu berfikir secara matang, berani menyuarakan pandangan dan prihatin terhadap masyarakat.

Beliau turut mengingatkan peserta supaya tidak membandingkan kebolehan diri dengan orang lain, sebaliknya berani mencuba perkara baharu, belajar daripada kesilapan dan terus berusaha memperbaiki diri.
“Saya mungkin belum berjaya hari ini, tetapi saya mempunyai peluang dan kemampuan untuk menjadi lebih baik pada hari esok,” katanya.
Sabri berkata, perkembangan teknologi, kecerdasan buatan (AI), media digital dan perubahan landskap pekerjaan menuntut generasi muda melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran selain pengetahuan akademik.
Sepanjang program, peserta mengikuti Modul Kepimpinan dan Jati Diri yang merangkumi aktiviti suai kenal, pencarian harta karun, penerokaan kepimpinan, dinamika kumpulan serta pengisian sivik dan kerohanian.
Mereka turut mengikuti Modul Komunikasi yang merangkumi pengurusan acara, pengucapan awam dan pengacaraan majlis, selain mendapat pendedahan kepada kewartawanan mudah alih (Mojo) dan penulisan kandungan (copywriting).

Pengisian lain termasuk sesi interaktif bersama pempengaruh tempatan serta Modul Kenegaraan dan Patriotisme yang merangkumi kuiz, trivia kenegaraan dan ceramah berkaitan kenegaraan bagi meningkatkan pengetahuan serta kecintaan peserta terhadap negara.
Program itu turut menampilkan Malam Penghargaan SKILLBOX@Kelab Malaysiaku 2026 Zon Sarawak yang mengetengahkan kesenian dan kebudayaan, diikuti aktiviti Road to Varsity, persembahan Pentarama dan majlis penutupan pada 11 Oktober.
Program SKILLBOX@Kelab Malaysiaku merupakan antara usaha Japen untuk membentuk generasi muda yang berkeyakinan, berkemahiran, mempunyai jati diri yang kukuh serta memahami nilai kenegaraan dan patriotisme.
Oleh Afiq Sallehi





