PETRA JAYA, 12 Oktober: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM200 juta bagi meneruskan Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) pada 2027, yang dijangka memberi manfaat kepada 10,600 pelajar Sarawak di empat universiti milik negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg berkata, skim itu diteruskan sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan negeri memperluas akses kepada pendidikan tinggi dan membangunkan modal insan bagi memenuhi keperluan ekonomi Sarawak.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bajet Sarawak 2027 pada hari pertama Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, hari ini.
Selain FTES, kerajaan negeri turut menyediakan bantuan lain bagi mengurangkan beban kewangan pelajar dan keluarga, termasuk RM30.5 juta untuk Program Komputer Riba Percuma, RM10 juta bagi subsidi pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan RM8 juta untuk subsidi tiket penerbangan menerusi inisiatif i-GPS.
Sebanyak RM50 juta turut diperuntukkan bagi bantuan wang saku khas kepada pelajar, manakala Program Baucar Buku menerima peruntukan RM2 juta.

Yayasan Sarawak pula menyediakan RM206 juta dalam bentuk biasiswa dan pinjaman pendidikan, selain RM18.5 juta daripada kerajaan negeri.
Bagi membantu murid daripada keluarga berpendapatan rendah, kerajaan negeri memperuntukkan RM4 juta untuk subsidi yuran tadika dan taska bagi isi rumah berpendapatan RM7,000 dan ke bawah.
Program Bantuan Pakaian Seragam Sekolah menerima RM4 juta, manakala RM10 juta disediakan bagi Program Bas Sekolah Percuma di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri.
Dalam aspek peningkatan pencapaian akademik, sebanyak RM25 juta diperuntukkan untuk Program Tuisyen Peningkatan Pendidikan Sarawak (SEEP), yang dijangka membantu kira-kira 113,000 pelajar di 186 sekolah menengah.
Sementara itu, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) menerima RM121.5 juta bagi perbelanjaan operasi institusi berkaitan, termasuk Sarawak Skills, i-CATS, CENTEXS dan Kolej Laila Taib.
Sebanyak RM13 juta lagi disediakan untuk inisiatif pembangunan TVET, manakala RM4.5 juta diperuntukkan bagi program pembangunan bakat NextGen TVET.
Bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan, Program Peningkatan Latihan Graduan Sarawak menerima RM22 juta, yang dijangka memberi manfaat kepada 1,000 graduan melalui elaun bulanan RM1,500.
Secara keseluruhan, kerajaan negeri memperuntukkan RM454.34 juta bagi pendidikan dan pembangunan bakat pada 2027.
Kerajaan negeri turut merancang menubuhkan Majlis Pendidikan Sarawak untuk menyelaras dasar pendidikan, pembangunan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta latihan guru.
Langkah itu melengkapi pelbagai inisiatif pendidikan yang diumumkan dalam Bajet Sarawak 2027, dengan tumpuan kepada akses pengajian tinggi, bantuan kepada pelajar serta pembangunan tenaga kerja berkemahiran.
Oleh Afiq Sallehi





