UTS himpun 936 pelajar dalam program sains dan keusahawanan

Facebook
WhatsApp
UNTUK ALBUM…Pelajar School of Foundation Studies (SFS), Universiti Teknologi Sarawak (UTS) merakamkan gambar kenangan selepas menjayakan Simposium Sains SFS 2026 dan Ekspo Inovasi serta Pembentangan Perniagaan BorneoNEXT 2026 di Sibu, baru-baru ini. Foto UTS

SIBU, 12 Oktober: Seramai 936 pelajar asasi Universiti Teknologi Sarawak (UTS) menyertai Simposium Sains SFS 2026 dan Ekspo Inovasi serta Pembentangan Perniagaan BorneoNEXT 2026 baru-baru ini.

Program anjuran School of Foundation Studies (SFS) UTS itu bertujuan menggabungkan pengetahuan akademik dengan aplikasi praktikal, selain mengasah kreativiti, kemahiran teknikal dan kepimpinan pelajar.

Simposium Sains SFS 2026 melibatkan 176 pelajar jawatankuasa penganjur dan 21 pembentang yang mengetengahkan hasil kerja daripada kursus Matematik I, Fizik I dan Kimia I.

Sementara itu, Ekspo BorneoNEXT 2026 melibatkan 760 pelajar dalam 77 kumpulan yang menghasilkan idea perniagaan inovatif berasaskan budaya, sumber, gaya hidup dan alam sekitar Borneo.

Kedua-dua program itu mencerminkan komitmen SFS UTS dalam menyediakan pendidikan holistik melalui pengalaman praktikal serta pembangunan kemahiran insaniah bagi mempersiapkan pelajar menghadapi dunia pekerjaan dan keusahawanan.

Oleh Tarani Lanting