PETRA JAYA, 12 Oktober: Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) akan diteruskan pada 2027 dengan peruntukan RM650 juta bagi membantu isi rumah berpendapatan rendah, warga emas dan individu bujang yang layak menangani peningkatan kos sara hidup.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penerima SKAS akan menerima bantuan sebanyak RM1,100 bagi isi rumah, RM600 bagi warga emas dan RM375 bagi individu bujang.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri akan terus memperkukuh bantuan bersasar bagi melindungi golongan rentan daripada tekanan kos sara hidup.
“Kekuatan sesebuah masyarakat bukan diukur berdasarkan kekayaan segelintir pihak, tetapi melalui jaminan kehidupan yang diberikan kepada majoriti rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Sarawak 2027 pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 di sini, hari ini.
Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan Sarawak untuk membantu golongan rentan, memperkasakan keluarga dan memastikan tiada rakyat Sarawak yang terpinggir akibat peningkatan kos sara hidup.

SKAS mula diperkenalkan pada 2025 dengan kadar bantuan tahunan RM800 bagi isi rumah yang layak, RM400 bagi warga emas tanpa pasangan dan RM250 bagi individu bujang.
Ketika itu, peruntukan awal sebanyak RM450 juta diumumkan bagi membantu sekurang-kurangnya 850,000 penerima.
Pada 2026, kadar bantuan pada peringkat awal dinaikkan kepada RM950 bagi isi rumah, RM500 bagi warga emas tanpa pasangan dan RM300 bagi individu bujang.
Kadar bantuan itu kemudiannya dinaikkan kepada RM1,100 bagi isi rumah, RM600 bagi warga emas dan RM375 bagi individu bujang. Peruntukan keseluruhan turut ditingkatkan kepada RM680 juta.
Bagi 2027, kadar bantuan dikekalkan pada paras selepas kenaikan pada 2026, manakala peruntukan yang diumumkan ialah RM650 juta.
SKAS disalurkan secara digital melalui S Pay Global bagi membolehkan penerima membeli barangan keperluan asas di premis yang mengambil bahagian.
Oleh Shahrul Qaizat




