PETRA JAYA,12 Oktober: Kerajaan Sarawak menyasarkan 80 peratus perkhidmatan kerajaan didigitalkan menjelang 2027, berbanding 62 peratus yang telah dicapai setakat ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sebanyak RM24 juta diperuntukkan menerusi Belanjawan Sarawak 2027 bagi melaksanakan 65 projek digital dalam sektor utama.
“Usaha ini merupakan sebahagian daripada langkah mempercepat pendigitalan perkhidmatan kerajaan dengan sasaran mencapai 100 peratus menjelang 2030.
“Tumpuan kita bukan lagi sekadar menyediakan perkhidmatan secara dalam talian, tetapi beralih kepada penyampaian perkhidmatan bersepadu dari awal hingga akhir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Sarawak 2027 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks DUN, hari ini.

Tambah beliau, pendekatan tersebut membolehkan sistem kerajaan saling berhubung, maklumat dikongsi dengan selamat antara agensi dan rakyat mengakses perkhidmatan dengan lebih mudah.
“Dalam usaha memperkukuh perkhidmatan awam, RM2.38 juta turut diperuntukkan bagi menjalankan kajian pembangunan Ekosistem Transformasi dan Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak.
“Kerajaan negeri akan terus mengkaji semula fungsi dan tanggungjawab agensi bagi mengurangkan pertindihan tugas serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan,” jelasnya.
Selain itu, katanya, RM25 juta disediakan kepada Institut Kepimpinan bagi latihan semula, peningkatan kemahiran serta pembangunan profesionalisme penjawat awam pada 2027.
Kerajaan Sarawak turut memperuntukkan RM800,000 bagi kajian kebolehlaksanaan penubuhan Pusat Integriti dan Tadbir Urus Sarawak, selain RM7.5 juta untuk memperkukuh inisiatif integriti dan tadbir urus dalam sektor awam serta masyarakat.
Oleh Masrin Affirah





