SIBU, 11 Oktober: Taman Tasik Permai bertukar menjadi medan serangan zombi apabila sekitar 2,000 peserta dengan pelbagai kostum menyeramkan membanjiri kawasan rekreasi itu sempena Larian Zombie 4.0 di sini, semalam.
Acara berkonsepkan larian malam bertemakan seram itu bukan sahaja menyajikan pengalaman rekreasi yang unik, malah menggabungkan elemen kesihatan, kreativiti dan perpaduan masyarakat dalam satu program yang penuh warna-warni.
Program anjuran Persatuan Perpaduan Sungai Merah Sibu dengan kerjasama Kelab Larian Jalan dan Bukit Sibu itu bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat serta mengeratkan hubungan masyarakat menerusi aktiviti rekreasi yang kreatif.
Pengerusi penganjur, Willie Ling berkata, sambutan menggalakkan yang diterima membuktikan masyarakat Sibu sentiasa menyokong penganjuran aktiviti komuniti yang menarik dan mampu melibatkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat.
“Kami amat gembira melihat kira-kira 2,000 peserta menyertai program ini. Sambutan yang menggalakkan ini membuktikan bahawa masyarakat Sibu sentiasa menyokong aktiviti komuniti yang kreatif dan menarik,” katanya.
Majlis itu turut dihadiri Kaunselor Aaron Teo yang mewakili Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato Sri Tiong King Sing, untuk merasmikan program berkenaan.
Antara pengisian utama ialah solekan zombi percuma, Zombie Zumba, Pertandingan Kostum Terbaik serta acara kemuncak Larian Malam Zombi sejauh tiga kilometer mengelilingi Taman Tasik Permai.
Gabungan kostum menyeramkan, hiasan kreatif bertemakan seram dan pelbagai hiburan menjadikan kawasan taman rekreasi itu meriah, sekali gus menarik penyertaan daripada pelbagai peringkat umur.
Dalam pada itu, Willie merakamkan penghargaan kepada Dato Sri Tiong King Sing atas sokongan berterusan terhadap program pembangunan komuniti dan belia.
Beliau berharap lebih banyak program sukan dan rekreasi kreatif dapat dianjurkan di Sibu bagi menggalakkan penyertaan masyarakat yang lebih meluas, selain menjadikan aktiviti riadah sebagai wadah memperkukuh perpaduan.
Katanya, beliau turut berharap Larian Zombie dapat terus berkembang sebagai acara rekreasi tahunan ikonik di Sibu, sekali gus mempromosikan bandar itu sebagai destinasi aktiviti komuniti dan pelancongan rekreasi.
Oleh Tarani Lanting





