Perodua Alza terbabas ke gaung lima meter, dua cedera di Bukit Aguk

Facebook
WhatsApp
MANGSA kemalangan dihantar ke Klinik Julau bagi nendapatkan rawatan lanjut. Foto BBP Bintangor

JULAU, 11 Oktober: Dua individu mengalami kecederaan ringan di bahagian muka, tangan dan pinggang selepas kereta Perodua Alza yang dinaiki mereka terbabas ke dalam gaung sedalam kira-kira lima meter di Jalan Entabai, Bukit Aguk, pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, kedua-dua mangsa terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita yang masih berada di dalam kenderaan ketika pasukan bomba tiba di lokasi kejadian.

“Pihak kami menerima panggilan kecemasan pada 7.59 pagi.

“Respons dengan panggilan kecemasan, sepasukan bomba digerakkan ke lokasi kemalangan.

“Setibanya di lokasi, komander operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Wan Azri Wan Adannan, membuat penilaian awal sebelum mengarahkan anggota bomba mengangkat kedua-dua mangsa menggunakan pengusung untuk dipindahkan ke ambulans APM bagi mendapatkan rawatan awal,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, kedua-dua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan ambulans APM Julau untuk dihantar ke Klinik Julau bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Operasi menyelamat berjaya dikawal pada 9.23 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada 9.43 pagi.

“Operasi turut melibatkan kerjasama anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan APM.

“Kes kemudiannya diserahkan kepada pihak polis Julau untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Oleh Earl Anek