BAU, 11 Oktober: Kepulangan mendiang Konstabel Mathew Zulian Backly ke kampung halamannya di Kampung Stenggang, Bau, memberi peluang kepada keluarga dan rakan setugas untuk berkumpul serta memberikan penghormatan terakhir sebelum beliau disemadikan esok.
Mendiang yang bertugas di Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan, Sabah, meninggal dunia pada 8 Oktober lalu akibat kemalangan jalan raya.
Jenazahnya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching kira-kira 12.45 tengah hari semalam sebelum dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Stenggang.

Menurut laman rasmi Facebook IPD Bau, ketibaan jenazah disambut dengan tabik hormat dan istiadat ringkas oleh pegawai kanan serta anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak sebagai penghormatan terakhir terhadap khidmat bakti mendiang sepanjang berkhidmat dalam pasukan itu.
Di kampung halaman, keluarga, saudara-mara dan masyarakat setempat berpeluang memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang sebelum upacara pengebumiannya yang dijadualkan berlangsung esok, 12 Oktober, di Tanah Perkuburan Kristian St Teresa, Kampung Stenggang.
Pemergian Mathew bukan sahaja meninggalkan kesedihan buat keluarga dan insan tersayang, malah turut dirasai rakan setugas serta warga PDRM yang pernah berkhidmat bersamanya.
Warga PDRM, khususnya Ketua Polis Daerah Bau dan seluruh warga IPD Bau, turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang serta mendoakan agar mereka diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan itu.
Oleh Afiq Sallehi




