KUCHING, 8 Oktober: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) mencatat pencapaian membanggakan apabila meraih enam anugerah pada Anugerah Kecemerlangan Hijau dan Geopark 2026, sekali gus menjadi penerima anugerah terbanyak pada malam berkenaan.
Pengiktirafan itu mencerminkan komitmen berterusan MBKS dalam menerajui pembangunan bandar mampan, pendidikan alam sekitar, kitar semula, penglibatan komuniti, keselamatan makanan serta pembangunan infrastruktur hijau.
Kesemua anugerah disampaikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, kelestarian merupakan antara keutamaan utama beliau sejak menerajui pentadbiran MBKS pada September 2019.
“Pegangan saya mudah, kita bukan sekadar mengurus bandar untuk keperluan hari ini, tetapi perlu mempersiapkan Kuching Selatan untuk generasi akan datang,” katanya.
Menurutnya, komitmen itu diterjemahkan melalui pelbagai inisiatif termasuk perlindungan alam sekitar, pengurangan sisa, ekonomi kitaran, penyediaan kawasan hijau serta penglibatan masyarakat dalam membudayakan gaya hidup sihat.
Antara enam pengiktirafan diterima ialah Anugerah Kepimpinan Transformasi Bandar Mampan Cemerlang yang diberikan secara peribadi kepada Wee atas kepimpinannya dalam pembangunan Kuching Selatan.
MBKS turut menerima Anugerah Pendidikan dan Kesedaran Alam Sekitar menerusi Program Pendidikan Pengkomposan Komuniti menggunakan kaedah Takakura.
Program berkenaan mendidik masyarakat mengenai kaedah menukarkan sisa makanan kepada kompos yang boleh digunakan sebagai baja tanaman, sekali gus membantu mengurangkan jumlah sisa yang dibuang.
Selain itu, inisiatif iBuyBack yang mendigitalkan aktiviti kitar semula menerima Anugerah Inovasi Teknologi Hijau, manakala program Bank Sampah diiktiraf menerusi Anugerah Perintis Ekonomi Kitaran Komuniti.

Pasar Tani Kuching pula menerima Anugerah Pertanian Mampan dan Keselamatan Makanan atas peranannya menyokong pengeluar tempatan serta meningkatkan akses masyarakat kepada bekalan makanan.
Sementara itu, inisiatif ESG Smart Pole menerima Anugerah Inovasi Infrastruktur Hijau Pintar sebagai sebahagian daripada usaha MBKS mengintegrasikan teknologi hijau dalam pembangunan infrastruktur bandar.
Wee berkata, beliau amat berbesar hati menerima pengiktirafan kepimpinan tersebut yang disifatkan sebagai hasil kerjasama erat antara ahli majlis, kakitangan, rakan strategik dan masyarakat setempat.
“Apa sahaja yang berjaya dicapai adalah hasil usaha bersama. Ahli majlis, kakitangan, rakan kerjasama dan penduduk memainkan peranan penting dalam menterjemahkan perancangan kepada tindakan.
“Anugerah ini adalah milik semua pihak yang telah menyumbang kepada usaha menjadikan Kuching Selatan sebuah bandar yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan meraih anugerah terbanyak pada majlis berkenaan turut menjadi dorongan kepada MBKS untuk terus memperkukuh pelaksanaan agenda kelestarian bandar.
Tegasnya, kelestarian bukan sekadar satu inisiatif, sebaliknya menjadi sebahagian daripada pendekatan MBKS dalam merancang pembangunan, melaksanakan tindakan serta menyediakan bandar untuk masa depan.
“Kami berbangga dengan pengiktirafan ini, namun usaha kami tidak terhenti di sini. MBKS akan terus berusaha menjadikan Kuching Selatan sebuah bandar yang lebih hijau, berdaya tahan dan selesa didiami oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.
Turut hadir, pada majlis tersebut ialah Timbalan Datuk Bandar, Kaunselor Zaiedi Suhaili, Kaunselor Drahman Jaladin, Kaunselor Judy Kho dan Kaunselor Albert Tay.
Turut hadir, Pemangku Setiausaha Bandaraya Wong Ming Kong dan Penolong Setiausaha Kanan Lilian Liew.




