PETRA JAYA, 8 Oktober: Australia berminat membawa lebih banyak syarikat dari negara itu untuk meneroka peluang perdagangan dan pelaburan di Sarawak, khususnya dalam sektor tenaga, peralihan industri, pelabuhan dan infrastruktur.
Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Danielle Heinecke berkata, perkara itu antara yang dibincangkan ketika beliau mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun openg Openg di Kompleks Satria Pertiwi di sini, hari ini.
Menurutnya, perbincang tersebut juga melibatkan perdagangan dan pelaburan serta bagaimana untuk membawa lebih banyak syarikat Australia melabur di Sarawak, termasuk dalam sektor tenaga, peralihan industri, pelabuhan dan infrastruktur.
“Kerjasama Australia-Sarawak turut merangkumi bidang tenaga boleh diperbaharui, termasuk penerokaan teknologi penyimpanan tenaga menggunakan sistem hidro pam.

“Kami telah bekerjasama rapat untuk melihat bagaimana Sarawak boleh memperluas peralihan tenaga boleh diperbaharuinya menggunakan hidro pam, selain berkongsi kepakaran teknikal,” katanya.
Tambah beliau, kerjasama teknikal dengan Sarawak Energy turut diteruskan bagi menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Sarawak.
Dalam bidang pendidikan, Heinecke berkata hubungan Australia-Sarawak turut diperkukuh menerusi kerjasama dengan universiti Australia yang beroperasi di Sarawak, termasuk Universiti Teknologi Swinburne Sarawak dan Universiti Curtin Malaysia.
“Kerjasama penyelidikan antara Swinburne di Australia dan Malaysia kini turut memberi tumpuan kepada sektor tenaga dan teknologi baharu.
“Terdapat ruang untuk kedua-dua pihak berkongsi kepakaran serta mencari penyelesaian bersama terhadap cabaran dalam sektor berimpak tinggi,” jelasnya.
Mengulas lanjut, kerjasama universiti juga boleh diperluas kepada penggunaan teknologi bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan.
“Antara yang boleh diteroka ialah penggunaan dron untuk menghantar peralatan perubatan serta mengoptimumkan penggunaan sumber,” ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, kerjasama yang dibincangkan turut meliputi pembangunan bakat masa depan selain penerokaan teknologi dan kepakaran baharu bagi menyokong agenda pembangunan Sarawak menuju 2030.
Oleh Masrin Affirah



