Ular sawa dua meter ceroboh dapur Rumah Guang awal pagi

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA bomba menangkap ular sawa di Rumah Guang. Foto BBP Sarikei

SARIKEI, 7 Oktober: Kehadiran seekor ular sawa sepanjang kira-kira dua meter di dapur sebuah rumah di Rumah Guang, Sungai Sentebu Hilir, mencetuskan detik mencemaskan sebelum reptilia itu berjaya ditangkap anggota bomba awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Vincent Baling berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar 2.19 pagi.

“Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Ahmad Tamizi bermula pada 2.29 pagi.

“Setibanya di lokasi, didapati seekor ular sawa berukuran lebih kurang dua meter berada di bahagian dapur rumah pengadu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pasukan bomba terlebih dahulu membuat penilaian awal bagi memastikan operasi menangkap reptilia tersebut dapat dilakukan dengan selamat tanpa mendatangkan risiko kepada penghuni rumah.

“Selepas membuat penilaian awal, pasukan bomba bertindak menangkap ular tersebut dengan alat penjerut ular.

“Ular sawa berjaya ditangkap dan kemudiannnya dibawa keluar dari kawasan rumah sebelum dilepaskan semula ke habitat asal.

“Operasi menangkap ular itu ditamatkan sepenuhnya pada 2.47 pagi,” katanya.

Oleh Earl Anek