DEBAK, 6 Oktober: Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Debak terus memperkukuh kemahiran dalam pengendalian kecemasan menerusi pembelajaran asas mengenai nadi manusia yang diadakan di Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Debak.
Menurut APM Daerah Debak, pembelajaran berkenaan bertujuan memberi pengetahuan kepada anggota mengenai kaedah mengenal pasti, mengesan serta mengira denyutan nadi seseorang sebagai sebahagian daripada pemeriksaan awal mangsa.
Nadi merupakan denyutan yang dapat dirasai pada salur darah apabila jantung mengepam darah ke seluruh badan. Justeru, pengetahuan mengenai pemeriksaan nadi menjadi antara kemahiran penting yang perlu dikuasai anggota ketika menjalankan tugasan kecemasan.
Dalam sesi pembelajaran tersebut, anggota didedahkan kepada beberapa lokasi utama bagi mengesan nadi, antaranya nadi radial di bahagian pergelangan tangan dan nadi karotid di bahagian leher.
Selain itu, anggota turut mempelajari kaedah mengira kadar denyutan nadi serta menilai beberapa aspek penting termasuk kadar, rentak dan kekuatan denyutan.
Menurut APM Daerah Debak, kemahiran tersebut penting ketika pemeriksaan awal mangsa kerana bacaan nadi boleh membantu anggota menilai keadaan semasa seseorang serta mengenal pasti sebarang perubahan yang memerlukan perhatian segera.
Pembelajaran turut disusuli latihan secara praktikal bagi memastikan anggota bukan sahaja memahami aspek teori, malah lebih mahir dan yakin melaksanakan pemeriksaan tanda-tanda vital dengan kaedah yang betul.
Latihan seperti ini secara tidak langsung membantu meningkatkan tahap kesiapsiagaan anggota APM dalam menghadapi pelbagai situasi kecemasan, khususnya ketika memberikan bantuan awal sebelum mangsa menerima rawatan lanjut daripada pihak perubatan.
Oleh Adi Safarman





