KUCHING, 5 Oktober: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerima kunjungan hormat Setiausaha Jabatan Tenaga Filipina, Sharon S. Garin.
Pertemuan itu membincangkan perkembangan infrastruktur digital serta potensi kerjasama berkaitan sambungan kabel gentian optik antarabangsa yang menghubungkan Hong Kong dan Singapura dengan cabang ke Kuching.
Ketua Pegawai Eksekutif Converge, Dennis Anthony berkata syarikatnya telah membangunkan kabel antarabangsa sepanjang lebih 3,000 kilometer dari Hong Kong ke Singapura, dengan cabang ke Filipina dan Thailand serta mempunyai unit percabangan di Kuching.
“Inisiatif itu dimulakan SDEC bagi membangunkan pintu gerbang berkapasiti tinggi ke Singapura yang berperanan sebagai hab untuk menghubungkan Sarawak dengan rangkaian global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Tambah beliau, pihaknya sudah mempunyai perjanjian yang akan ditandatangani bagi pelaburan satu pasangan gentian yang menghubungkan Hong Kong ke Singapura dengan cabang ke Kuching.
“Jadi, ini merupakan pintu gerbang yang membolehkan anda mendapatkan akses.
“Ini dimulakan oleh SDEC dan kami sudah mempunyai perjanjian untuk ditandatangani di mana mereka akan melabur dalam satu pasangan gentian,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata sambungan kabel gentian optik antarabangsa itu turut menyokong keperluan sambungan digital susulan perkembangan kecerdasan buatan (AI) dan pengembangan pusat data global.
“Pembangunan infrastruktur berkenaan memerlukan kapasiti pengkomputeran serta sambungan digital berkapasiti tinggi,” ujarnya.
Untuk rekod, kunjungan hormat tersebut diadakan selepas Majlis Perasmian Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak 2025 (IDECS 2025) di BCCK, hari ini.
Oleh Masrin Affirah




