Brïk rai tahun ketiga dengan Pattern Play, teroka warna serta corak baharu

Facebook
WhatsApp
KOLEKSI TERBAHARU...Antara rekaan beg tangan dalam koleksi Pattern Play keluaran jenama fesyen tempatan Brïk sempena ulang tahun ketiganya. Foto Instagram Brïk

KUALA LUMPUR: Terkenal dengan rekaan warna blok yang menjadi teras identitinya, jenama fesyen tempatan Brïk kini melangkah ke fasa baharu menerusi pelancaran koleksi Pattern Play bersempena dengan ulang tahun ketiga penubuhannya.

Brïk dalam kenyataan hari ini memaklumkan Pattern Play membawa pendekatan berbeza dengan mengetengahkan corak, tekstur dan perincian yang lebih ekspresif.

“Warna sentiasa menjadi DNA utama Brïk, namun tahun ini kami mahu menyuntik elemen lebih menyeronokkan dengan padanan warna berani, corak, tekstur dan material baharu. Koleksi ini memberi ruang untuk kami bereksperimen, meneroka idea baharu serta berseronok dengan rekaan yang dihasilkan.

“Masuk tahun ketiga ini, kami tidak sabar melihat apa lagi yang boleh kami lakukan untuk terus menghasilkan rekaan yang membanggakan, seterusnya memberi inspirasi kepada orang ramai untuk berseronok dalam perjalanan ini,” kata pengasas bersamanya yang juga adik-beradik, Sabrina dan Syakira Ridzal.

Menampilkan 36 unit secara keseluruhan, koleksi terbaharu itu merangkumi tiga rekaan beg tangan baharu, iaitu Posie, Pixie dan Sundae, selain pelbagai aksesori seperti pemegang kad Sundae serta dompet Colourblock Compact Pal.

DOMPET Colourblock Compact Pal antara aksesori yang diperkenalkan Brïk menerusi koleksi Pattern Play. Foto Instagram Brïk

Lebih menarik, Pattern Play turut menandakan langkah pertama brïk dalam kategori pakaian menerusi siri Cardi Knit yang hadir dalam empat corak, iaitu polka dots, tulisan, jalur dan pin.

Jelas mereka, setiap helaian berkenaan direka khusus bagi menggabungkan keselesaan harian dengan pernyataan fesyen, menjadikannya mudah dipadankan dan serasi bersama koleksi aksesori jenama itu.

Diasaskan ketika pandemik COVID-19 menerusi projek yang bermula daripada minat mendalam, Brïk kini berkembang daripada sebuah perniagaan dalam talian kepada jenama yang kian menempa nama dalam industri fesyen tempatan dengan rekod jualan melebihi 100,000 unit beg.

Bagi mendekatkan jenama itu dengan komunitinya, sambutan ulang tahun ketiga ini turut diserikan dengan pembukaan kedai sementara fizikal pertamanya di APW Bangsar.

Ruang fizikal itu beroperasi selama dua minggu, bermula 28 September hingga 11 Oktober ini, dari 12.00 tengah hari hingga 8.00 malam setiap hari.

CORAK BAHARU…Antara rekaan dalam siri Cardi Knit yang diperkenalkan Brïk menerusi koleksi Pattern Play. Foto Instagram Brïk

Mengulas potensi pembukaan butik kekal pada masa depan, kedua-duanya tidak menolak kemungkinan tersebut.

“Manalah tahu kan, kedai sementara dua minggu ini pun membuatkan kami tertanya-tanya juga macam mana agaknya kalau brïk ada ruang sendiri nanti. Siapa tahu?” katanya. – Bernama

Kebersihan P-Turn bermula daripada pengguna

BINTULU: Menyediakan plastik sampah sebelum berhenti di P-Turn mungkin kelihatan seperti perkara kecil, namun langkah mudah itu mampu membantu memastikan