Vandalisme lumpuhkan dua menara telekomunikasi Penom-Nanga Bayor, pemulihan bermula esok

Facebook
WhatsApp
GANGGUAN perkhidmatan telekomunikasi di Rumah Panjang Penom dan Nanga Bayor sejak 24 September lalu berpunca daripada vandalisme. Foto Douglas Uggah Embas Official

SPAOH: Gangguan perkhidmatan telekomunikasi yang menjejaskan penduduk Rumah Panjang Penom dan Nanga Bayor sejak 24 September lalu dikenal pasti berpunca daripada perbuatan vandalisme terhadap dua menara telekomunikasi di kawasan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menerima laporan berhubung gangguan berkenaan.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua menara yang menyediakan perkhidmatan mudah alih Celcom, Digi dan Maxis tidak berfungsi.

“Pihak penyedia perkhidmatan memaklumkan kabel kuasa telah dipotong dan dicuri, manakala beberapa peralatan lain turut hilang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, laporan polis berhubung kejadian itu telah dibuat pada 25 September lalu bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut dijalankan.

Uggah berkata, kabel kuasa gantian dijangka tiba di Kuching hari ini sebelum dihantar ke kedua-dua lokasi terjejas.

“Kerja pemulihan dijadualkan bermula esok, tertakluk kepada keadaan cuaca yang mengizinkan, dan keseluruhan kerja disasarkan siap dalam minggu ini,” katanya.

Gangguan berkenaan bukan sahaja menjejaskan komunikasi harian penduduk, malah turut memberi kesan kepada urusan pembelajaran, capaian internet serta komunikasi ketika berlaku kecemasan.

Sementara menunggu perkhidmatan telekomunikasi dipulihkan, komuniti setempat yang memerlukan akses internet boleh menggunakan kemudahan yang disediakan di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Penom yang berhampiran.

Uggah, yang juga Timbalan Premier Sarawak, turut menyeru masyarakat setempat supaya menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa bagi membantu membanteras kegiatan vandalisme.

“Saya mohon kerjasama orang ramai supaya menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan mengawasi sebarang kegiatan mencurigakan di kawasan masing-masing.

“Jika melihat sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan kemudahan telekomunikasi, segera laporkan kepada pihak berkuasa supaya tindakan dapat diambil,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama masyarakat amat penting dalam melindungi kemudahan telekomunikasi yang menjadi keperluan asas komuniti, selain memastikan perkhidmatan komunikasi dapat disediakan secara berterusan.

Oleh Adi Safarman