BINTULU: Sarawak memerlukan tambahan peruntukan sebanyak RM1 bilion bagi memperkukuh sektor padi di negeri itu, termasuk membangunkan infrastruktur pengairan bagi meningkatkan pengeluaran beras tempatan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata usaha memperkasa pengeluaran padi perlu dilihat sebagai sebahagian daripada agenda keselamatan makanan negara dan bukan semata-mata agenda Sarawak.
Beliau berkata Sarawak mempunyai kawasan tanah yang berpotensi untuk dibangunkan bagi tujuan penanaman padi, namun usaha berkenaan memerlukan pelaburan besar, khususnya bagi menyediakan sistem pengairan yang mencukupi.
“Kalau kita ada kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan kerana ini adalah agenda nasional, kita boleh mendapatkan tambahan (peruntukan).
“RM1 bilion adalah lain. Kalau kita dapat tambahan, kita ambil secara satu kepada satu (one-to-one) kerana ini adalah agenda nasional, bukan Sarawak punya agenda,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sarawak Agrofest di Bintulu, hari ini.
Menurut beliau, pembangunan sektor padi memerlukan masa dan kapasiti yang mencukupi, terutama bagi membangunkan sistem pengairan yang menjadi antara keperluan asas untuk memastikan kawasan penanaman dapat beroperasi secara produktif.
Katanya, perubahan keadaan dunia ketika ini turut memberi kesan terhadap pengeluaran padi, sekali gus menunjukkan keperluan untuk meningkatkan pengeluaran makanan dalam negara.
“Kita tidak dapat bergantung kepada bekalan luar sahaja. Kita mesti tambahkan pengeluaran dalam negara dan secara kebetulan kita ada kawasan tanah,” katanya.
Abang Johari berkata peningkatan pengeluaran padi juga dijangka memberi kesan positif terhadap pendapatan petani apabila hasil tanaman dapat ditingkatkan.
Beliau berkata padi perlu dilihat sebagai tanaman strategik dan industri penting dalam menjamin bekalan makanan, selain berpotensi memberikan pulangan ekonomi yang lebih baik kepada petani.
“Padi dalam masa lima tahun akan datang harganya akan menjadi lebih positif disebabkan hasilnya bertambah. Kalau hasilnya bertambah, maknanya pendapatan petani akan meningkat.
“Dan ia bukan lagi tanaman untuk orang miskin, ia adalah satu tanaman yang sangat penting,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Premier turut menekankan kepentingan penyelidikan bagi menghasilkan varieti beras yang lebih mesra kesihatan, termasuk beras dengan kandungan kanji (starch) yang lebih rendah.
Katanya, usaha menghasilkan beras dengan ciri berkenaan berpotensi mewujudkan produk tempatan bernilai tambah, seterusnya membina jenama beras Sarawak sendiri untuk diketengahkan ke pasaran yang lebih luas.
“Kita cuba menghasilkan beras yang lebih baik untuk kesihatan, iaitu beras yang mempunyai kandungan kanji yang lebih rendah.
“Kalau ini berlaku, kita ada jenama kita sendiri dan seluruh dunia saya rasa akan mengenali jenama ini,” katanya.
Beliau berkata usaha penyelidikan dan pembangunan produk beras berkenaan turut mengambil kira aspek pemakanan serta keperluan pengguna pada masa hadapan.
Selain padi, Abang Johari berkata Sarawak turut melihat potensi pembangunan pertanian bersepadu yang menggabungkan sektor tanaman, ternakan dan perikanan.
Menurutnya, antara pendekatan yang sedang diterokai termasuk penggunaan sistem penyimpanan air (hydro storage) bagi memastikan sumber air dapat disimpan dan dimanfaatkan untuk kegunaan kawasan pertanian.
Air yang disimpan itu, katanya, bukan sahaja boleh dimanfaatkan untuk aktiviti pertanian, malah berpotensi menyokong aktiviti perikanan di kawasan yang sama.
Beliau berkata pendekatan bersepadu sedemikian merupakan antara kaedah baharu yang boleh diterokai bagi meningkatkan produktiviti tanah serta memaksimumkan nilai ekonomi sektor agro Sarawak.
Oleh Faizah Muzidi





