Sampadi bakal dibangunkan sebagai pekan pintar dalam tempoh lima tahun – Abang Johari

Facebook
WhatsApp
DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika berucap pada majlis penangguhan Regatta Batang Kayan di Tebingan Lundu, hari ini.

LUNDU: Sampadi bakal dibangunkan sebagai pekan pintar dalam tempoh lima tahun akan datang, dengan perancangan penempatan semula secara terancang serta penyediaan kemudahan moden termasuk teknologi maklumat.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan itu dirancang bagi menjadikan Sampadi sebagai kawasan tarikan baharu, selain memanfaatkan kedudukannya yang berdekatan dengan Trombol.

Katanya, pembangunan Sampadi juga dijangka menerima limpahan daripada kewujudan kampus Universiti i-Cats di Trombol yang memberi tumpuan kepada bidang aeroangkasa dan bidang ilmu terkini.

“Dalam tempoh lima tahun akan datang, kita akan membuat perancangan terlebih dahulu supaya ia menjadi satu tarikan dan juga kawasan penempatan semula dengan kemudahan terkini.

“Dengan kemudahan terkini termasuk teknologi maklumat, ia tidak jauh dari Trombol,” katanya ketika ketika berucap pada majlis penangguhan Regatta Batang Kayan di Tebingan Lundu, hari ini.

Abang Johari berkata, kewujudan kampus Universiti i-Cats di Trombol berpotensi menjadi pemangkin kepada pembangunan kawasan sekitar, termasuk Sampadi, berdasarkan pengalaman pembangunan kawasan lain yang berubah selepas kewujudan institusi pengajian tinggi.

Menurutnya, perkembangan Bangi di Selangor selepas penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), serta pembangunan kawasan di Kedah susulan penubuhan universiti, menunjukkan institusi pendidikan mampu menjadi pemacu kepada perubahan corak pembangunan setempat.

“Kita lihat apa yang berlaku di Kedah. Apabila kerajaan membangunkan Universiti Utara Malaysia, ia telah mengubah corak kawasan tersebut.

“Begitu juga dengan Bangi di Selangor. Apabila kita menubuhkan Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi, Bangi berubah,” katanya.

Beliau berkata, kampus universiti di Trombol yang menjadi pusat pembangunan ilmu aeroangkasa dan bidang terkini akan menjadi antara teras kepada pembangunan kawasan sekitarnya.

“Kalau kita bangunkan kawasan Trombol di mana kita mempunyai kampus universiti yang menjadi nadi kita mendapatkan ilmu aeroangkasa dan juga ilmu-ilmu terkini, ia akan menjadi satu teras untuk membangunkan kawasan persekitarannya termasuklah Sampadi,” katanya.

Abang Johari berkata, pembangunan Sampadi secara terancang itu akan turut memberi peluang kepada penduduk menikmati kemudahan moden serta membuka ruang kepada pertumbuhan aktiviti ekonomi baharu di kawasan berkenaan.

Oleh Shahrul Qaizat