KUCHING: Lebih 1.25 juta hektar tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di seluruh Sarawak telah diukur menerusi Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu setakat 31 Ogos lalu.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan Sarawak kekal komited untuk mempercepatkan kerja pengukuran dan pengeluaran hak milik tanah NCR.
Menurut beliau, pencapaian itu tidak seharusnya dilihat daripada sudut angka semata-mata kerana setiap lot dan sempadan tanah melibatkan keluarga, sejarah, sumber pendapatan serta masa depan generasi seterusnya.

“Justeru, kerja seterusnya perlu dilihat kepada penyelesaian menyeluruh daripada identifikasi kawasan, pengukuran dan pengesahan sempadan, hinggalah kepada dokumentasi, pendaftaran dan pengeluaran hak milik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Hari Inovasi dan Integriti Tanah dan Survei Sarawak (HITS) 2026 di sini, malam ini.
Abang Johari berkata penggunaan teknologi mampu mempercepatkan proses berkenaan, namun penglibatan pemilik tanah, komuniti dan pihak berkepentingan masih penting bagi memastikan hak rakyat terus dipelihara.

Pada masa sama, beliau mahu Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS) memperkukuh enam bidang utama, termasuk penyelesaian dan dokumentasi tanah NCR secara teratur, telus dan adil, selain perancangan guna tanah yang lebih bersedia menghadapi pertumbuhan bandar, pembangunan perumahan, infrastruktur dan perubahan iklim.
Enam bidang itu turut merangkumi pemodenan sistem ukur dan pemetaan, pengukuhan fungsi penilaian tanah dan tadbir urus sumber mineral serta menjadikan data tanah sebagai infrastruktur strategik bagi menyokong keputusan kerajaan dan ekonomi digital.
Beliau turut menegaskan bahawa inovasi perlu menyelesaikan masalah, manakala penggunaan teknologi mesti memperkukuh penyampaian perkhidmatan tanpa mengabaikan aspek integriti.

HITS 2026 yang berlangsung dari 21 hingga 23 September membawa tema ‘Inovasi Berteraskan Integriti, Penyampaian Berimpak’ sebagai platform untuk memperkukuh budaya inovasi, integriti dan kecemerlangan dalam kalangan warga JTS.
Oleh Norman B




