LUNDU, 8 November: Keindahan laut membiru, suasana menyegarkan serta persekitaran jauh daripada kesibukan bandar menjadikan Pantai Pandan, Lundu antara lokasi menarik untuk aktiviti berkelah dan rekreasi bersama keluarga.
Tarikan semula jadi itu turut mendapat perhatian Normasitah Ramzan, peserta rombongan Kembara Ilmu Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Penibong dari Pulau Bruit yang berpeluang mengunjungi pantai berkenaan sempena program tersebut.
Menerusi rakaman video yang dikirimkan kepada Utusan Sarawak, beliau menyifatkan Pantai Pandan mempunyai keistimewaan tersendiri, khususnya dari segi keindahan laut dan bentuk muka buminya yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan.
“Suasana di sini sangat segar dan sesuai untuk aktiviti keluarga serta berkelah kerana jauh daripada kesibukan bandar.
“Selain itu, pantai ini mempunyai bentuk muka bumi yang sesuai dan strategik untuk dibangunkan dari segi pelancongan. Seperti yang anda boleh lihat, airnya biru dan sangat cantik,” katanya.
Menurutnya, perjalanan menuju ke Pantai Pandan juga menawarkan pemandangan menarik yang memberikan ketenangan kepada pengunjung, khususnya mereka yang ingin berehat seketika daripada kesibukan bekerja di bandar.
Katanya, pantai berkenaan bukan sahaja sesuai untuk kunjungan rombongan sekolah, malah boleh menjadi pilihan keluarga untuk meluangkan masa bersama-sama.
“Jadi, saya juga ingin menyeru semua untuk datang ke sini dan berkelah bersama keluarga kerana kita dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.
“Bagi mereka yang bekerja di bandar, kita perlukan masa untuk berehat dan melepaskan tekanan. Jadi, ini adalah tempat yang sesuai,” katanya.


Dalam rakaman sama, Normasitah turut merakamkan penghargaan kepada bekas Ahli Parlimen Igan, Dato Sri Wahab Dolah atas peruntukan yang diberikan bagi menjayakan lawatan Kembara Ilmu berkenaan.
Beliau berkata, sokongan tersebut membantu rombongan berkenaan melaksanakan program lawatan yang turut memberi peluang kepada murid menikmati keindahan Pantai Pandan.
Mengulas lanjut, Normasitah turut mengajak orang ramai berkunjung ke pantai itu bagi memeriahkan lagi kawasan berkenaan.
“Saya menyeru agar semua pihak datang ke sini bersama-sama memeriahkan lagi kawasan Pantai Pandan,” katanya.
Program Kembara Ilmu SK Kampung Penibong berlangsung dari 6 hingga 9 November dengan pengisian lawatan ke beberapa lokasi di Kuching, termasuk Petrosains PlaySmart Kuching, Muzium Budaya Borneo serta aktiviti sukaneka di Pantai Pandan, Lundu.
Oleh Shikin Mahmud




