MOSCOW, 8 November: Gejala jangkitan bagi varian baharu COVID-19, PJ.2.1 mungkin menyerupai selesema biasa atau influenza, justeru ujian diperlukan bagi mengenal pasti punca sebenar jangkitan, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lapor Sputnik/RIA Novosti.
“Gejala COVID-19, influenza dan jangkitan pernafasan lain mungkin mempunyai persamaan.
“Oleh itu, virus yang menyebabkan jangkitan tidak dapat dipastikan hanya berdasarkan gejala yang dialami,” menurut WHO.
Pertubuhan itu memaklumkan ujian mungkin diperlukan sekiranya pengesahan punca penyakit boleh mempengaruhi keputusan rawatan atau langkah kesihatan awam.
Pejabat WHO di Rusia sebelum ini memaklumkan bahawa risiko penularan varian baharu koronavirus PJ.2.1 di seluruh dunia semakin meningkat dan pihaknya sedang memantau dengan teliti penularan varian baharu itu.
Sementara itu, pakar penyakit berjangkit dan virologi, Dr Elena Malinnikova pada Sabtu berkata sakit tekak yang teruk serta keletihan berpanjangan selepas pulih daripada jangkitan mungkin menjadi antara gejala yang membezakan varian PJ.2.1 daripada varian lain. – Bernama





