peruntuk RM300,00
KUCHING: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperuntukkan RM300,000 bagi menaik taraf Pusat Penjaja Jeti Pending di sini dalam usaha menyediakan ruang niaga yang lebih selesa, selamat dan kondusif kepada penjaja serta peniaga kecil.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, pembangunan ekonomi tidak seharusnya dinilai berdasarkan angka besar semata-mata, sebaliknya perlu turut dirasai oleh penjaja dan peniaga kecil yang menjadi sebahagian daripada nadi ekonomi setempat.
“Kita boleh bercakap tentang pertumbuhan ekonomi dan angka-angka besar. Tetapi kalau angka besar ini tidak dirasai oleh penjaja, peniaga kecil dan pekedai, maka ia tidak bermakna.
“Melalui penambahbaikan kemudahan seperti ini, kita mahu pastikan mereka sekurang-kurangnya mempunyai tempat yang lebih baik untuk berniaga dan, paling penting, perniagaan mereka juga dapat berkembang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau projek berkenaan hari ini bersama Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng, Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii dan ADUN Pending, Violet Yong.
Projek berkenaan melibatkan kerja kemasan serta penggantian dinding, lantai, siling dan bumbung, selain menaik taraf tingkap, pintu, kemudahan sanitari, saliran dan sistem elektrik.
Projek itu bermula pada 10 Ogos lalu dan dijadualkan siap pada 9 Oktober ini.
Steven berkata, projek menaik taraf Pusat Penjaja Jeti Pending merupakan antara usaha KUSKOP untuk memastikan kemudahan asas bagi penjaja dan peniaga kecil terus diberi perhatian.
Menurutnya, KUSKOP akan terus bekerjasama dengan kerajaan Sarawak dan pihak berkuasa tempatan bagi mengenal pasti keperluan sebenar peniaga di lapangan.
“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Sarawak, Majlis Bandaraya Kuching Selatan, Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii, ADUN Pending Violet Yong dan Datuk Bandar Dato Wee Hong Seng atas kerjasama yang sangat baik dengan KUSKOP.
“Kerjasama seperti ini penting untuk memastikan penjaja, peniaga kecil dan perusahaan kecil dan sederhana kita mempunyai tempat yang lebih baik untuk menjalankan perniagaan,” katanya.
Pusat Penjaja Jeti Pending mempunyai 11 lot niaga dan telah beroperasi sejak 1989 sebagai salah satu pusat penjaja komuniti di kawasan berkenaan.
Wee turut memaklumkan kadar sewa di pusat penjaja berkenaan dikekalkan pada kadar rendah dengan mengambil kira komuniti setempat, termasuk golongan B40, bagi memastikan harga makanan dan barangan kekal berpatutan.
Projek berkenaan merupakan sebahagian daripada Program Pembangunan Premis (Tamu Desa) KUSKOP yang bertujuan menyediakan dan menaik taraf ruang niaga yang lebih kondusif serta membuka peluang ekonomi kepada usahawan mikro dan peniaga kecil.
Di Sarawak, sebanyak 66 projek Tamu Desa telah dilaksanakan bagi tempoh 2024 hingga 2026 dengan peruntukan keseluruhan melebihi RM14 juta menggunakan dana Kerajaan Persekutuan.




