SETIAP lat lapan tahun, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya sama ada di Semenanjung, Sabah atau Sarawak. Ia adalah tempoh minimum untuk berbuat demikian mengikut Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.
SPR sendiri menyatakan pada Januari 2024 bahawa kajian terdahulu bagi Semenanjung selesai pada 2018, Sarawak 2015 dan Sabah 2017.
Sarawak sudah melepasi lat lapan tahun sejak 2023. SPR memang mula menjalankan proses kajian semula di Sarawak dan pada 2026 kita sudah melihat cadangan penambahan 17 kerusi Dewan Undangan Negeri daripada 82 kepada 99.
Lat lapan tahun Sabah sudah tamat pada 2025, jadi secara perlembagaan sudah boleh dikaji semula. Begitu juga Semenanjung yang tamat pada 2026, dan SPR kini sudah berada dalam tempoh yang membolehkan kajian semula dimulakan.
Ini bermakna, jumlah kerusi Parlimen dan DUN akan terus bertambah di Semenanjung, Sabah atau Sarawak apabila SPR mengadakan proses persempadanan semula.

Berdasarkan hakikat inilah kenyataan terbuka Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media di Kota Kinabalu Jumaat lalu bahawa kerajaan bersetuju meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan jumlah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak ditambah kepada nisbah baharu yang lebih tinggi berbanding jumlah perwakilan ketika ini, masih kurang meyakinkan kerana tidak menyebut secara khusus perkataan satu pertiga.
Tidak pasti sama ada Perdana Menteri ada menyebut ‘satu pertiga atau 35 peratus kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak’ pada mesyuarat tertutup Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikannya di Kota Kinabalu itu.
Semua tahu, mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962, bahawa 35 peratus kerusi Parlimen di Dewan Rakyat, hendaklah dari Sarawak dan Sabah.
Ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2026 peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), malam tadi pun, Anwar tidak secara spesifik menyebut satu pertiga itu.
Sebaliknya, Perdana Menteri mengulangi bahawa nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat perlu dipertingkatkan. Beliau tidak menyebut secara khusus bahawa nisbah satu pertiga telah dipersetujui Kerajaan Persekutuan.
Tiada penyelesaian sejak 1965
Perkara itu hanya diungkap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada majlis sama malam tadi apabila menyatakan Kerajaan Persekutuan telah bersetuju menetapkan nisbah perwakilan Parlimen Sarawak dan Sabah kepada tidak kurang daripada satu pertiga.
Sambung Anwar lagi: “Dalam MA63, semasa Singapura bersama, ada kerusi Parlimen satu pertiga. Terpenuhi daripada 1963, Singapura keluar 1965, belum lagi ada penyelesaian.

“Jadi peringkat pertama, keputusan Jemaah Menteri ialah bersetuju tentang penambahan kerusi Parlimen dalam penyusunan semula yang akan datang ini bertambah untuk Sabah dan Sarawak. Itu yang pertama,” katanya.
Menurut Anwar, pemimpin Sabah dan Sarawak sebelum ini menegaskan bahawa penambahan kerusi semata-mata tidak memadai sekiranya nisbah perwakilan kedua-dua negeri tidak turut meningkat.
Bagaimanapun, beliau berkata jumlah sebenar kerusi tambahan serta kaedah pelaksanaannya masih dalam rundingan bersama SPR sebelum dibawa ke Parlimen.
“Cuma tentang kaedah, beberapa jumlah secara terperinci itu sedang dirundingkan dan diputuskan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya dan akan dibentangkan di Parlimen,” katanya.
Tetapi menurut Anwar ikhtiar itu turut memaknai semangat MA63 sebagai waad nasional yang mesti terus diterjemahkan melalui penghormatan terhadap hak serta kepentingan Sabah dan Sarawak dalam kerangka Persekutuan.
Tidak pasti sama ada Perdana Menteri berdepan tekanan dari rakan gabungan dalam Kerajaan Persekutuan atau parti pembangkang di Semenanjung, ‘menyukarkannya’ menyebut secara terbuka tuntutan kerusi 1/3 kerusi untuk Sarawak dan Sabah itu.
Kelmarin juga Abang Johari menegaskan sebarang penambahan kerusi Parlimen perlu memastikan Sabah dan Sarawak secara bersama mengekalkan nisbah satu pertiga daripada keseluruhan kerusi Dewan Rakyat.
Beliau berkata, pendirian itu berasaskan prinsip perwakilan dan perlindungan kepentingan Sabah serta Sarawak yang terkandung dalam kerangka pembentukan Malaysia, termasuk MA63.
MA63 dan laporan IGC
“Dalam IGC (Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan), kita memang ada disebut perwakilan berkadar (proportional representation). Satu lagi disebut ialah ratio (nisbah). Masa itu kita ada satu pertiga,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Ekosistem Pembangunan Bakat Utama (Flagship) Semikonduktor Sarawak di CENTEXS Santubong.

Sekiranya kerajaan bersetuju untuk 35 peratus ini, bermakna sebarang pertambahan kerusi Parlimen di Semenanjung pastinya akan turut menyaksikan pertambahan kerusi Parlimen di Sarawak dan Sabah, untuk mengekalkan siling 35 peratus atau satu pertiga itu.
Kini, Dewan Rakyat mempunyai sejumlah 222 kerusi membabitkan 166 kerusi atau 75 peratus di Semenanjung Malaysia, manakala baki 56 kerusi atau 25 peratus adalah di Borneo iaitu 31 kerusi di Sarawak dan 25 kerusi di Sabah.
Untuk memenuhi 35 peratus kerusi Parlimen di Dewan Rakyat, Sarawak dan Sabah perlu tambahan 21 kerusi lagi, menjadikan jumlahnya 77 kerusi Parlimen berdasarkan jumlah kerusi yang ada sekarang.
Kalau kerusi parlimen di Semenanjung bertambah 50 dalam proses persempadanan semula selepas ini, maka secara automatik kerusi parlimen di Sarawak dan Sabah bertambah 17 untuk mengekalkan kuota satu pertiga.
Nisbah inilah yang Sarawak dan Sabah mahu, bukan kenyataan ‘akan ditambah’ kerana akhirnya nanti kerusi Parlimen di Semenanjung akan turut bertambah.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil selaku jurucakap Kerajaan Madani ketika berada di Kuching kelmarin turut mengesahkan cadangan supaya Sabah dan Sarawak memiliki satu pertiga daripada keseluruhan kerusi Parlimen masih belum diputuskan, namun menegaskan jumlah kerusi bagi kedua-dua negeri itu perlu ditambah.
Memang menjadi tugas SPR dalam proses persempadanan semula ini akan menentukan jumlah kerusi yang perlu ditambah.
Bagaimanapun, SPR perlu ingat kewujudan MA63 dan hak Sabah, Sarawak untuk mendapat kuota satu pertiga itu, sebagai panduan serta mematuhi arahan Kerajaan Persekutuan nanti sekiranya isu 35 peratus itu dipersetujui secara tuntas.
Jika SPR tidak patuh pada soal perjanjian MA63, keadaan tidak akan berubah. Maka dengan sendirinya, kerusi Parlimen di Borneo tidak boleh ‘ditambah’ dengan jangkaan alasan populasi tidak banyak.
Ubah kaedah
Dalam proses ini, jangan lihat dari sisi populasi semata-mata, sebaliknya keadaan geografi, kerana dengan mengecilkan kawasan parlimen yang agak besar akan mempermudahkan urusan pentadbiran Ahli Parlimen dan ADUN untuk membawa pembangunan.
Bayangkan kerusi Parlimen P216 Hulu Rajang (34,080 kilometer persegi – km²) hampir sebesar Pahang (35,965 km²). Kerusi Parlimen P220 Baram (22,075 km²) lebih besar daripada Perak (21,146 km²), P187 Kinabatangan (18,068 km²) hampir sebesar Johor (19,166 km²), P207 Igan (sekitar 6,000 km²) sekitar 1/3 Negeri Sembilan).
Malah Parlimen Hulu Rqjang dan Baram lebih luas daripada gabungan negeri Perlis + Melaka.
Oleh itu, SPR ketika menjalankan proses persempadanan semula perlu menggunakan kaedah berdasarkan keluasan kawasan, bukan kaedah ‘one man, one vote’ seperti digunakan selama ini, yang perlu diubah. Jika tidak, hanya kerusi di bandar yang padat penduduk sahaja akan ditambah kerusi Parlimen atau DUN.
Kaedah ‘seorang satu undi’ (one man, one vote) bermaksud kedudukan kerusi dinilai berdasarkan jumlah pengundi, bukan keluasan kawasan Parlimen atau DUN apabila melakukan kerja persempadanan semula kawasan pilihan raya.
Oleh itu, ahli politik Sabah dan Sarawak perlu ‘menghentikan’ kenyataan ‘ooo kawasan ini dan itu sudah bertambah jumlah penduduk, perlu dipecahkan’. Jika SPR tidak mengubah kaedah ini, ia akan terus memberi ‘advantage’ kepada penduduk tetap bandar dan parti politik tertentu.
Kemudian, ada satu lagi persoalan yang menjadi halangan terbesar nanti iaitu pindaan untuk satu pertiga kerusi Parlimen Sabah, Sarawak memerlukan sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.
Bab mendapatkan ‘persetujuan’ majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat inilah sesuatu yang mencabar dan mungkin menjadi ‘halangan terbesar’ jika sebahagian Ahli Parlimen (MP) terutama dari Semenanjung tidak menyokongnya.
Al-maklumlah…menguasai satu pertiga majoriti di Dewan Rakyat mungkin menjadikan Sarawak dan Sabah ‘kingmaker’ sebagai penentu kelulusan sebarang pindaan undang-undang, malah jauh daripada itu, penentu jawatan Perdana Menteri?
Awal-awal lagi PAS sudah beri amaran dan menyifatkan janji tambahan kerusi parlimen untuk Sabah dan Sarawak oleh Anwar Ibrahim sebagai satu ‘lakonan bermutu tinggi’.
Ketua penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata pengumuman itu membuatkan Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak tersenyum lebar mendengar janji itu.
“Tambahan kerusi itu satu perkara yang bagus dan praktikal. Tetapi ia memerlukan pindaan perlembagaan dengan dua pertiga suara majoriti di Parlimen.
“Tanpa rundingan untuk pertambahan juga di banyak lokasi di Semenanjung, adakah anda fikir ia akan lulus dengan mudah? Jika PN dan BN mengambil sikap tidak menyokong, adakah ia boleh lulus?” katanya dalam kenyataan seperti dilaporkan Malaysiakini Ahad lalu.
Ahmad Fadhli lupa atau buat tak tahu kewujudan perjanjian MA63 satu pertiga itu. Malah, andai suatu hari nanti, PAS, Pakatan Nasional (PN) dan BN/UMNO ‘menang kerusi banyak tapi gagal membentuk majoriti mudah 112 kerusi Parlimen’, apakah mereka tidak tercari-cari parti dari Sarawak dan Sabah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan, seperti mana berlaku sebelum ini?
Anak punai di atas pagar
Turun ke tanah memakan padi
Kalau hutang wajib dibayar
Kalau janji wajib ditepati
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak





