Sejarah penerbitan Sarawak Gazette

Facebook
WhatsApp

PERKEMBANGAN dalam bidang persuratkhabaran telah lama wujud di dunia. Zaman Rom misalnya telah ada bentuk-bentuk awal persuratkhabaran dengan munculnya ActaDiurna yang memberi maklumat tentang pengumuman rasmi kerajaan, aktiviti senate, berita tentang masyarakat dan pelbagai lagi cerita mengenai Rom. 

Di China pula, wujud laporan atau buletin istana yang dikenali sebagai Dibao. Penerbitan ini memuatkan maklumat berkaitan urusan pentadbiran dan kegiatan kerajaan untuk pengetahuan pegawai serta golongan tertera.

Sejarah tentang pemakluman hal-hal kerajaan, masyarakat dan dunia terus berkembang dalam bentuk percetakan terutamanya di Eropah dengan beberapa penerbitan surat khabar seperti Relation (1605), Aviso Relation oder Zeitung (1609), Corante(1621), La Gazette (1631) dan Einkommende Zeitungen(1650) serta The Daily Courant (1702). 

Pada abad ke-19 perkembangan surat khabar ini berkembang pesat dengan penggunaan mesin cetak kuasa wap mempercepatkan pencetakan dan membawa pengeluaran lebih banyak. 

Perkembangan teknologi telegraf turut mempercepat penyebaran berita. Melalui teknologi ini, akhbar tidak lagi bergantung sepenuhnya pada surat kiriman atau penyampaian maklumat secara fizikal untuk mendapatkan berita dari tempatyang jauh.

Maklumat dapat dihantar dengan lebih pantas, sekali gus membolehkan akhbar melaporkan peristiwa yang berlaku di pelbagai lokasi dalam tempoh yang lebih singkat. Hal ini diperkukuhkan lagi dengan kemunculan agensi berita seperti Agence France-Presse (AFP) pada tahun 1835 dan Associated Press pada tahun 1846.

Perkembangan persuratkhabaran ini juga penting pada era imperialisme apabila maklumat-maklumat tentang koloni penting untuk tujuan mendapat maklumat ekonomi, pengumuman langkah kerajaan, pengenalan undang-undang dan memantau masyarakat yang dijajah.

Antara surat khabar ini adalah L’Estafette d’Alger (1830), The Illustrated London News (1872) dan The Civil and Military Gazette (1872).

Pertama

Perkembangan persuratkhabaran dunia turut memberi tempias kepada Sarawak dengan bermulanya pemerintahan Raja Charles Brooke di Sarawak. 

Hal ini boleh dilihat dengan penerbitan Sarawak Gazette di negeri ini pada tahun 1870. Jika ditinjau dengan jelas menunjukkan bahawa walaupun pemerintahan Brooke telah bermula sejak tahun 1841 tetapi ia mengambil masa 31 tahun untuk menguasakan penerbitan surat khabar ini.

Sebab-sebab mengapa perkara ini berlaku kurang dipastikan. Boleh juga dikaitkan dengan pemerintahan Raja James Brooke yang masih lagi sibuk memberi perhatian untuk mengukuhkan pentadbiran Brooke di Sarawak.

Zaman Raja Charles Brooke merupakan tahap Sarawak lebih stabil dan makmur yang membolehkan tumpuan kepada aktiviti-aktiviti lain seperti soal persuratkhabaran ini boleh diusahakan.

Disebalik sebab-sebab ini sebenarnya Sarawak telahpun mempunyai satu risalah yang memain peranan sebagai pemakluman berita di Sarawak.  Ia diusahakan oleh Sarawak Mission Press yang menerbit satu bulletin bertujuan untuk menangani berita-berita palsu.  Bulletin ini diterbitkan pada tahun 1859. 

Usaha menangani penyebaran berita palsu ini berkait rapat dengan penentangan terhadap pemerintahan Brooke. Keadaan tersebut mendorong pihak Brooke untuk mengurangkan keraguan dan kesangsian dalam kalangan pegawainya dan masyarakat terhadap perkembangan semasa di Sarawak.

Oleh itu, penerbitan akhbar menjadi penting sebagai saluran penyampaian maklumat yang dianggap sahih dan tepat, sekali gus membantu menjelaskan keadaan sebenar di Sarawak ketika itu.

Selain itu penerbitan Sarawak Gazette ini menunjukkan bagaimana Raja Charles Brooke cuba menjalankan pentadbirannya secara lebih berkesan dan teratur dengan mengetahui berita-berita tentang keadaan politik, pentadbiran, ekonomi dan sosial di Sarawak. 

Pengetahuan tentang hal-hal ini penting kerana Sarawak semakin membesar dari segi saiznya apabila secara beransur-ansur mengembangkan wilayahnya.

Editor

Apabila Sarawak Gazette diterbitkan buat kali pertama pada 26 Ogos 1870, pihak kerajaan memberi kepercayaan kepada Reverend John Kemp sebagai editor pertamanya. Beliau merupakan seorang paderi kerajaan telah diberi kebebasan untuk mereka bentuk dan menyunting surat khabar tersebut.

Pada peringkat awal, Sarawak Gazette tidak banyak memuatkan berita-berita rasmi kerajaan.  Sebaliknya paparan berita mengenai dunia iaitu Perang Franco-Prussia dan beberapa berita tentang penyuluhan dari Eropah.

Cabaran terbesar Sarawak Gazette sepanjang penerbitannya adalah untuk mendapat bahan-bahan untuk dimuatkan dalam setiap keluarannya. 

Peringkat awal usaha dibuat untuk menerbit Sarawak Gazette dalam dwibulanan. Selain kesukaran mendapatkan bahan berita, langkah menghentikan langganan tetap dari Reuters turut menyukarkan usaha untuk mengekalkan penerbitan dwibulanan tersebut.

Keluaran

Namun demikian editor akhbar ini cuba sedaya upaya untuk menerbitkanya secara dwibulanan sehingga 1876.  Selepas tahun tersebut penerbitan Sarawak Gazette hanya diterbitkan untuk sebulan sekali sehingga 1908.

Apabila Sarawak Government Gazette diterbitkan, Raja Charles Brooke mengarahkan Sarawak Gazette mengembalikan penerbitan dwibulanan. 

Amalan penerbitan dwibulanan ini dihentikan semula pada 1921. 

Selepas itu Sarawak Gazette hanya diterbitkan sebulan sekali sehingga September 1941. Usaha mengembalikan penerbitan untuk dwibulanan dilaksanakan semula pada September 1941. 

Namun demikian usaha ini terganggu apabila Jepun menyerang Sarawak dan penerbitan Sarawak Gazette bukan sahaja terhenti untuk penerbitan dwibulanan malah terhenti terus selepas Disember 1941.

Sepanjang pendudukan Jepun, akhbar kerajaan ini tidak diterbitkan sehingga Sarawak menjadi tanah jajahan British. Dalam tempoh September hingga Disember 1941 satu perkembangan baharu muncul dalam keluaran Sarawak Gazette ini iaitu terdapat satu seksyen penulisan dalam bahasa Melayu. 

Namun demikian amalan memperkenalkan bahasa Melayu dalam tulisan jawi telah dibuat sekitar 1930-an.

Halaman

Pada peringkat awal Sarawak Gazette tidaklah mempunyai banyak muka surat kerana masih lagi baharu dan sedang dalam proses pengumpulan berita-berita dari Sarawak. 

Dalam hal ini jumlah muka surat yang diterbitkan pada peringkat awal tidak menentu dan bilangannya jarang melebihi antara tiga hingga empat muka surat. 

Secara keseluruhannya Sarawak Gazette walaupun sebagai alat penting kerajaan Brooke untuk mengawal Sarawak tetapi ia juga menyimpan banyak peristiwa bersejarah yang menceritakan tentang masa lalu. Banyak maklumat yang sampaikannya juga bermanfaat kepada penduduk Sarawak.

  • Dr. Suffian Mansor adalah Pensyarah Kanan, Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia. 

Memahami fungsi gear ketika pesawat mendarat

PENDARATAN antara fasa paling kritikal yang perlu dikendalikan oleh juruterbang. Berbeza dengan fasa perlepasan yang memberikan ruang untuk juruterbang membatalkan