PENDARATAN antara fasa paling kritikal yang perlu dikendalikan oleh juruterbang. Berbeza dengan fasa perlepasan yang memberikan ruang untuk juruterbang membatalkan prosedur berkenaan, sekiranya timbul masalah tertentu sebelum pesawat mencapai tahap kelajuan yang memerlukan perlepasan diteruskan.
Hal ini kerana sebaik sahaja pesawat berada di udara, pendaratan tetap perlu dilakukan sama ada dalam keadaan yang bersedia atau sebaliknya. Namun, setiap juruterbang memang terlatih untuk berdepan dengan sebarang situasi, jadi mereka sebaik yang mungkin akan memastikan pesawat mendarat dengan selamat.
Pelbagai cabaran boleh dihadapi oleh juruterbang ketika mendaratkan pesawat. Antara yang paling lazim ialah jarak penglihatan yang terhad akibat kabus atau jerebu, angin lintang serta permukaan landasan yang licin berikutan hujan lebat.
Selain cabaran tersebut, terdapat satu keadaan yang agak unik malah boleh menguji serba-serbi kemampuan juruterbang ketika hendak mendarat, iaitu apabila gear pendaratan atau landing gear mengalami masalah teknikal.
Bagi kebanyakan pesawat penumpang besar dan moden, peralatan pendaratan boleh disimpan selepas pesawat berlepas. ‘Tayar’ utama biasanya ditempatkan pada bahagian sayap atau berhampiran badan pesawat, manakala ‘tayar’ hadapan disimpan di ruang khas pada bahagian hadapan badan pesawat.
Sistem ini bukan terdiri daripada tayar semata-mata. Ia mempunyai penyerap hentakan, roda, brek, mekanisme untuk menaik dan menurunkan gear pendaratan, pintu ruang penyimpanan, pengunci serta sistem yang memberikan petunjuk kepada juruterbang sama ada gear pendaratan sudah turun dan terkunci dengan sempurna.
Menariknya, semakin besar sesebuah pesawat, semakin banyak roda mungkin diperlukan pada gear pendaratan utamanya.
Pesawat yang lebih besar biasanya mempunyai lebih banyak roda kerana beban yang perlu ditampung juga semakin tinggi. Dengan menggunakan beberapa roda, berat pesawat dapat diagihkan dengan lebih baik ketika berada di atas landasan. Keadaan ini turut mengurangkan beban yang ditanggung oleh setiap tayar.
Selepas pesawat berlepas, gear pendaratan tidak lagi diperlukan sehingga pesawat hendak mendarat. Oleh sebab itu ia akan ditarik masuk ke ruang penyimpanan sama ada di bahagian badan atau sayap mengikut reka bentuk pesawat.
Jika gear pendaratan dibiarkan terkeluar sepanjang penerbangan, ia akan menghasilkan seretan yang tinggi. Keadaan itu bukan sahaja mengganggu aliran udara tetapi turut meningkatkan penggunaan bahan api.

Gear pendaratan
Sebelum mendarat, gear pendaratan akan diturunkan semula dan juruterbang perlu memastikan ia sudah berada pada kedudukan yang sepatutnya. Namun ada ketikanya gear pendaratan telah diarahkan untuk turun, tetapi petunjuk di kokpit menunjukkan ia masih belum berada pada kedudukan yang sepatutnya.
Keadaan seperti ini tentunya memerlukan juruterbang memastikan terlebih dahulu apakah sebenarnya yang berlaku sebelum pesawat dibawa mendarat. Dalam situasi sedemikian, pengesahan daripada pihak di luar pesawat mungkin diperlukan bagi menentukan keadaan sebenar gear pendaratan.
Pengesahan ini boleh dilakukan oleh juruterbang pesawat lain yang berada berhampiran atau oleh petugas menara kawalan udara yang memerhati pesawat ketika ia melakukan lintasan rendah di lapangan terbang.
Ada situasi gear pendaratan dapat diturunkan namun didapati kedua-dua roda pada gear hadapan berada pada kedudukan hampir 90 darjah daripada arah sepatutnya.
Insiden sedemikian pernah berlaku kepada JetBlue Airways Penerbangan 292 pada 21 September 2005 apabila pesawat Airbus A320 tersebut mengalami masalah pada gear hadapan sejurus selepas berlepas.
Keadaan ini bermakna pesawat masih mempunyai semua gear pendaratan yang diperlukan untuk mendarat, tetapi roda pada gear hadapan tidak menghala ke arah perjalanan pesawat.
Bagi mengurangkan risiko ketika mendarat, juruterbang mengambil masa untuk mengurangkan berat pesawat dengan membakar sebahagian bahan api sebelum melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles.
Ketika mendarat, juruterbang cuba memastikan bahagian muncung pesawat kekal terangkat selama yang boleh. Apabila roda hadapan akhirnya menyentuh landasan, tayarnya mula bergesel dengan kuat kerana berada dalam kedudukan melintang. Asap dan percikan api dapat dilihat tetapi pesawat akhirnya berjaya berhenti. Semua penumpang dan kru terselamat dalam insiden yang mendebarkan ini.
Situasi yang berlainan berlaku kepada LOT Polish Airlines Penerbangan 16 pada 2011. Boeing 767 berkenaan berhadapan dengan masalah yang menyebabkan gear pendaratan tidak dapat diturunkan ketika hendak mendarat di Warsaw.
Kru turut mencuba kaedah alternatif tetapi gear masih tidak dapat dikeluarkan. Akhirnya pesawat terpaksa mendarat tanpa menggunakan gear pendaratan. Bahagian bawah badan pesawat menyentuh landasan dan meluncur di atas permukaannya sehingga berhenti.
‘Belly landing’
Kejadian seperti ini dikenali sebagai ‘belly landing’. Walaupun keadaan tersebut kelihatan agak menakutkan, semua penumpang dan kru pesawat berkenaan terselamat.
Ada pula keadaan apabila bukan semua gear gagal. Pada 2011, sebuah Bombardier CRJ yang dikendalikan SkyWest Airlines mengalami kegagalan pada gear utama sebelah kanan ketika menghampiri Milwaukee, Amerika Syarikat.
Gear hadapan dan gear utama sebelah kiri berjaya turun serta terkunci, tetapi gear utama sebelah kanan kekal berada di dalam ruang simpanannya.
Kru mencuba prosedur alternatif untuk menurunkan gear tersebut tetapi masih tidak berjaya. Mereka akhirnya mendarat dengan hanya gear hadapan dan gear utama sebelah kiri berada dalam kedudukan normal.
Selepas pesawat kehilangan kelajuan, bahagian kanan pesawat akhirnya turun ke permukaan landasan. Kesemua 44 orang di dalam pesawat tidak mengalami kecederaan.
Tiga kejadian ini menunjukkan masalah peralatan pendaratan boleh berlaku dalam keadaan yang sangat berbeza.
Dalam satu keadaan, semua gear keluar tetapi gear hadapan berada pada arah yang salah. Dalam keadaan lain, seluruh gear gagal diturunkan. Ada pula keadaan apabila hanya satu daripada gear utama tidak dapat keluar.
Cara juruterbang mengendalikan setiap keadaan tentunya tidak sama.
Sebelum membuat keputusan untuk mendarat, mereka perlu terlebih dahulu mengetahui keadaan sebenar peralatan pendaratan.
Maklumat ini boleh diperoleh melalui petunjuk dalam kokpit, prosedur pemeriksaan sistem atau dalam keadaan tertentu melakukan penerbangan rendah berhampiran menara kawalan supaya kedudukan gear pendaratan dapat dilihat dari luar.
Jika masih mempunyai bahan api yang mencukupi, juruterbang juga mempunyai masa untuk menilai keadaan, berbincang dengan bahagian teknikal dan menyediakan pesawat untuk pendaratan.
Sistem hidraulik
Pesawat biasanya mempunyai kaedah lain untuk menurunkan gear jika sistem utama gagal. Caranya berbeza mengikut jenis pesawat. Ada yang mempunyai sistem hidraulik alternatif manakala sesetengah pesawat membolehkan gear pendaratan turun dengan bantuan graviti selepas mekanisme tertentu dilepaskan.
Namun ada keadaan apabila cara kedua ini juga tidak berjaya. Gear pendaratan mungkin tersekat di dalam ruangnya atau sudah keluar tetapi masih belum berada pada kedudukan yang membolehkannya menanggung berat pesawat.
Jika masalah berlaku pada gear hadapan, juruterbang mungkin cuba mengekalkan bahagian hidung pesawat daripada menyentuh landasan terlalu awal selepas gear utama mencecah permukaan.
Keadaannya berbeza jika salah satu gear utama tidak dapat digunakan. Jika gear utama sebelah kanan misalnya tidak dapat diturunkan, bahagian tersebut tidak mempunyai sokongan apabila pesawat semakin perlahan.
Juruterbang akan cuba mengekalkan pesawat dalam keadaan terkawal selama mungkin sebelum bahagian kanan akhirnya turun dan menyentuh landasan.
Jika semua gear langsung tidak dapat dikeluarkan, pilihan yang tinggal mungkin melakukan pendaratan menggunakan bahagian bawah badan pesawat.
Tiada juruterbang yang mahu berhadapan dengan keadaan seperti ini.
Namun keadaan kecemasan berkaitan sistem pesawat merupakan antara perkara yang dipelajari ketika latihan.
Simulator juga membolehkan juruterbang berlatih menghadapi keadaan tertentu tanpa perlu menunggu kegagalan sebenar berlaku ketika penerbangan.
Peralatan pendaratan pula hanya digunakan pada beberapa bahagian penerbangan. Ketika berada di darat ia menampung berat pesawat, kemudian digunakan ketika berlepas sebelum disimpan. Gear hanya diperlukan semula apabila pesawat hendak mendarat.
Walaupun penggunaannya kelihatan singkat, tugas yang perlu dilakukan agak berat. Ketika pesawat menyentuh landasan, gear pendaratan perlu menanggung beban pesawat selain menyerap hentakan. Roda dan brek pula diperlukan sehingga pesawat memperlahankan kelajuan dan akhirnya berhenti.
Apabila timbul masalah pada sistem ini, juruterbang tidak mempunyai pilihan untuk mengelakkan pendaratan selama-lamanya. Pesawat tetap perlu dibawa turun.
Oleh itu, juruterbang umpama adiwira yang sentiasa meletakkan keselamatan penumpang dan kru sebagai keutamaan, membawa pesawat kembali ke darat dengan selamat walaupun berdepan pelbagai cabaran di ruang udara.
- Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.




