Isu pertindihan kerusi perlu penyelesaian tuntas

Facebook
WhatsApp

BERIKUTAN perubahan struktur politik dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas pada 2021, isu pertindihan kerusi memerlukan penyelesaian segera.

Mungkin sudah selesai atau sedang dalam rundingan.

Isu ini perlu diselesaikan sebelum PRN, yang tarikh penamaan calon dan pengundian bakal diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) esok.

Kerusi yang dijangka bertindih membabitkan Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) berdasarkan sejarah sebelum ini. Kedua-duanya adalah parti komponen dalam GPS.

Ini berikutan Parti Sarawak Bersatu (PSB) iaitu parti pembangkang, dibubarkan pada 2024, yang membawa kepada penyertaan tiga penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu ke dalam PDP.

Mereka ialah penyandang kerusi Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh; Dr Johnical Rayong Ngipa (Engkilili) dan Baru Bian (Ba’kelalan), menyertai PDP.

“ISU pertindihan kerusi antara parti komponen GPS perlu diselesaikan melalui rundingan dan persefahaman bersama,” – Profesor Sosiologi Politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM, Prof Dr Novel Lyndon

Seorang lagi penyandang kerusi Batu Lintang, See Chee How turut keluar PSB dan menjadi wakil rakyat Bebas  yang baru-baru ini memohon menyertai SUPP.

Susulan perkembangan itu, GPS yang menang 76 kerusi pada PRN lalu, kemudian menguasai 80 daripada 82 kerusi DUN Sarawak, manakala DAP mempunyai dua wakil rakyat.

GPS terdiri daripada empat parti utama iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), SUPP dan PDP.

PSB sebelum ini dikenali sebagai Parti Rakyat Bersatu (UPP), ditubuhkan pada 2014 selepas berlaku pergelutan kuasa antara kepemimpinan tertinggi dalam SUPP sekali gus mengheretkan sama kerusi diwakili parti asal sebelum ini.

Namun, pertindihan tidak semestinya bermakna berlaku perebutan terbuka. Ia boleh diselesaikan melalui rundingan kepimpinan GPS, berdasarkan kekuatan parti, rekod penyandang dan peluang kemenangan.

Isu bukan baharu

Profesor Sosiologi Politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Novel Lyndon berkata isu pertindihan kerusi dalam GPS bukanlah sesuatu yang baharu.

Katanya, ia berlaku apabila terdapat perubahan keanggotaan parti, penyertaan wakil rakyat daripada parti lain serta tuntutan terhadap kerusi yang secara tradisinya ditandingi oleh parti komponen tertentu.

Berikutan itu katanya, antara kawasan yang menjadi perhatian ialah Dudong, Bawang Assan, Engkilili dan Ba’Kelalan, khususnya melibatkan SUPP dan PDP.

“ISU pertindihan kerusi harus tidak timbul jika status quo dalam GPS dikekalkan,” – Felo Penyelidik, Institut Pengajian Borneo Unimas, Stanley Bye Kadam Kiai

“Isu berkaitan PBB juga pernah timbul di kawasan seperti Mambong, susulan perubahan keanggotaan parti penyandangnya.

“Pada pandangan saya, isu pertindihan kerusi antara parti komponen GPS perlu diselesaikan melalui rundingan dan persefahaman bersama,” katanya kepada penulis.

Felo Penyelidik, Institut Pengajian Borneo, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Stanley Bye Kadam Kiai, pula berkata isu pertindihan kerusi harus tidak timbul jika status quo dalam GPS dikekalkan.

Katanya, jika persamaan ini dijalankan, maka setiap parti yang terlibat akan gembira dan puas hati.

“Dengan hal yang demikian, GPS juga akan menang besar dan sekali gus menentukan status quo di Dewan Undangan Negeri Sarawak terjamin,” katanya kepada penulis.

Bagaimanapun, Dr Novel berpendapat keputusan pembahagian kerusi harus berdasarkan penilaian objektif terhadap prestasi penyandang, kekuatan jentera parti serta penerimaan masyarakat setempat.

Kepentingan rakyat katanya, perlu diutamakan dengan memilih calon yang berwibawa dan mampu memberikan perkhidmatan terbaik.

“Pembahagian kerusi juga perlu dimuktamadkan lebih awal bagi mengelakkan konflik dalaman. Pada masa sama, setiap parti komponen perlu saling menghormati demi mengekalkan keharmonian dan kestabilan GPS.

Selesai melalui rundingan

“Pada pandangan saya, isu pertindihan kerusi antara parti komponen GPS perlu diselesaikan melalui rundingan dan persefahaman bersama.

“Pada masa sama, setiap parti komponen perlu saling menghormati demi mengekalkan keharmonian dan kestabilan GPS,” katanya.

Apa pun katanya, isu pertindihan kerusi GPS bukan semestinya petanda perpecahan politik. Sebaliknya, ia mencerminkan proses penyesuaian dalam sebuah gabungan yang mempunyai pelbagai parti, kepimpinan dan kepentingan masyarakat.

Beliau berkata, kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selaku Pengerusi GPS mempunyai peranan penting dalam menyelaraskan proses rundingan tersebut.

Namun, penyelesaian yang berkekalan memerlukan persetujuan serta penghormatan bersama daripada semua parti komponen.

Dr Novel berkata, prinsip yang perlu diutamakan ialah kerusi pilihan raya merupakan amanah daripada rakyat, bukannya hak milik kekal mana-mana parti atau individu.

“Mana-mana keputusan pembahagian kerusi akhirnya perlu diuji melalui penerimaan dan mandat pengundi,” jelasnya.

Reaksi Premier Sarawak

Sementara itu, Abang Johari dilaporkan sebagai berkata bahawa pihaknya akan mengeluarkan kenyataan mengenai susunan pengagihan kerusi itu nanti.

Beliau menjawab pertanyaan wartawan mengenai kedudukan kerusi selepas wakil rakyat mewakili PSB menyertai PDP, setelah menyempurnakan acara pelepasan Rimbun International Sematan Run 2026 di Sematan 25 Oktober lepas.

Terdahulu selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi GPS di Ibu Pejabat PBB) di Petra Jaya, Abang Johari berkata GPS akan menggunakan kerusi yang dimenangi oleh calon-calonnya pada pilihan raya sebelum ini sebagai asas untuk memperuntukkan kerusi antara parti-parti komponennya pada PRN13 nanti.

Apa yang diharapkan ialah parti yang membuat tuntutan kerusi bertindih tetapi gagal mendapatkannya, tidak berselindung dengan menaja calon Bebas untuk mencabar calon parti sesama dalam GPS seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

  • Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak

Menyantuni bidang kuasa Pusat dan Sarawak

PERSAINGAN bidang kuasa petroleum antara Kerajaan Persekutuan dengan Sarawak bukan sekadar pertikaian undang-undang atau perebutan hasil bumi, tetapi ujian terhadap

Sejarah penerbitan Sarawak Gazette

PERKEMBANGAN dalam bidang persuratkhabaran telah lama wujud di dunia. Zaman Rom misalnya telah ada bentuk-bentuk awal persuratkhabaran dengan munculnya ActaDiurna

Memahami fungsi gear ketika pesawat mendarat

PENDARATAN antara fasa paling kritikal yang perlu dikendalikan oleh juruterbang. Berbeza dengan fasa perlepasan yang memberikan ruang untuk juruterbang membatalkan