Jalan raya pedalaman alternatif elak kebergantungan guna helikopter – Abang Johari

Facebook
WhatsApp
PREMIER Sarawak ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Ekosistem Pembangunan Bakat Utama (Flagship) Semikonduktor Sarawak di CENTEXS Santubong hari ini.

SANTUBONG: Kerajaan Sarawak menyasarkan pembangunan jaringan jalan raya ke kawasan pedalaman dapat disiapkan secara berperingkat antara 2030 hingga 2032 sebagai alternatif lebih praktikal kepada penggunaan helikopter bagi mendapatkan akses kepada kemudahan asas, termasuk perkhidmatan kesihatan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata pendekatan itu termasuk mengambil alih dan membangunkan jalan balak di beberapa kawasan seperti Baram dan Bintulu sebagai sebahagian daripada jaringan jalan raya.

“Apabila kita sudah buat jalan raya, tidak ada guna lagi kapal terbang atau helikopter. Tidak perlu lagi. Orang akan jimat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Ekosistem Pembangunan Bakat Utama (Flagship) Semikonduktor Sarawak di CENTEXS Santubong, di sini, hari ini.

Abang Johari berkata kira-kira 142 kilometer jalan raya utama sedang dibangunkan mengikut piawaian R3 Jabatan Kerja Raya (JKR), selain kira-kira 5,000 kilometer jalan balak di Bintulu yang berpotensi diambil alih untuk tujuan berkenaan.

Menurutnya, pembangunan jalan raya seperti laluan Sibu-Kapit sebelum ini membuktikan akses darat mampu mengubah corak pengangkutan penduduk pedalaman.

“Macam Sibu ke Kapit, tidak ada lagi orang memakai ekspres. Ekspres itu sudah tutup. Apabila orang menggunakan jalan raya dan semua rumah panjang sudah dihubungkan, siang atau malam, bila-bila sahaja orang mahu pergi ke klinik,” katanya.

Menurutnya, pengalaman pembangunan jalan raya yang menghubungkan Sibu dan Kapit menunjukkan akses darat mampu mengurangkan kebergantungan kepada pengangkutan air.

Katanya, apabila jaringan jalan raya menghubungkan rumah panjang dan penempatan pedalaman, penduduk boleh mendapatkan perkhidmatan klinik pada bila-bila masa tanpa bergantung kepada operasi penerbangan.

“Kalau FDS, apabila matahari ada barulah boleh beroperasi. Jadi saya fikir ini alternatif,” katanya.

Abang Johari berkata pembangunan jaringan jalan berkenaan memerlukan penggunaan dana kerajaan Sarawak sendiri sebagai sebahagian daripada sumbangan negeri dalam mempercepatkan penyediaan infrastruktur.

Dalam pada itu, katanya, sekiranya Kerajaan Persekutuan mengambil masa untuk melaksanakan pembangunan berkenaan, Sarawak perlu bergerak terlebih dahulu bagi memastikan kemudahan itu dapat dinikmati rakyat.

“Mudah-mudahan pendapatan kita pun bertambah. Pendapatan itu saya beri balik kepada rakyat,” katanya.

Oleh Shikin Mahmud