KABONG: Keprihatinan terhadap kebajikan golongan warga emas terus menjadi perhatian apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir, menziarahi seorang warga emas, Lamah Rebi di Kampung Alit, semalam.
Kunjungan itu bukan sekadar bertanya khabar, malah disusuli bantuan praktikal apabila Chee Kadir menyerahkan sebuah kerusi roda bagi membantu memudahkan pergerakan Lamah dalam menjalani rutin hariannya.
Menurut Chee Kadir, bantuan berkenaan diharap dapat memberikan lebih keselesaan kepada Lamah, terutama ketika bergerak di dalam dan luar rumah serta mendapatkan rawatan susulan.
Lamah mengalami masalah kesihatan pada bahagian kaki yang menyebabkan pergerakannya terbatas dan memerlukan kerusi roda yang bersesuaian untuk menjalani aktiviti harian.
Keadaan itu turut menyebabkan urusan keluar mendapatkan rawatan menjadi lebih mencabar, sekali gus menjadikan bantuan kerusi roda satu keperluan penting bagi membantu pergerakan beliau.
Lamah juga perlu menjalani pemantauan serta rawatan susulan di Klinik Kesihatan Nyabor berikutan beberapa masalah kesihatan yang dihadapinya.
Antara masalah kesihatan berkenaan ialah hipertensi atau darah tinggi, dislipidemia atau kolesterol tinggi dan diabetes mellitus atau kencing manis.
Beliau turut mempunyai sejarah serangan iskemia sementara (Transient Ischemic Attack – TIA) pada 2022 yang memerlukan perhatian serta pemantauan kesihatan secara berterusan.
Chee Kadir berkata, bantuan seumpama itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memastikan kebajikan dan keperluan masyarakat yang memerlukan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong tidak terpinggir.
Katanya, pendekatan turun padang membolehkan pihaknya melihat sendiri keadaan penduduk serta memahami keperluan mereka, khususnya golongan warga emas dan mereka yang berdepan keterbatasan pergerakan.
Beliau berharap kerusi roda yang disumbangkan itu dapat meringankan beban Lamah, selain membolehkannya menjalani urusan harian dengan lebih mudah, selesa dan selamat.
Turut hadir dalam kunjungan berkenaan ialah isteri Chee Kadir, Datin Meryani Yassin, Ketua Kaum Kampung Alit, Majlan Julaihi, serta Ketua Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kabong, Nur Ain Abdullah.
Oleh Adi Safarman



