SIMANGGANG, 1 November: Seramai 15 peserta yang berjaya menamatkan Kelas Literasi Fungsian (KLF) anjuran KEMAS diraikan dalam Majlis Penangguhan KLF yang berlangsung di Rumah Jati Achon, Menalang A, Undop, semalam.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie berkata beliau berpuas hati dengan kandungan silibus program yang bukan sahaja memberi penekanan kepada kemahiran asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira, malah turut meningkatkan tahap celik digital dalam kalangan peserta.
Menurut beliau, pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh sepanjang kursus tersebut mampu membuka minda peserta serta meningkatkan kesedaran mereka terhadap ancaman penipuan dalam talian atau scam yang semakin berleluasa pada masa kini.
“Pengetahuan digital yang baik amat penting agar masyarakat lebih berwaspada dan tidak mudah menjadi mangsa penipuan dalam talian,” katanya ketika merasmikan majlis berkenaan.
Beliau berharap para peserta dapat memanfaatkan ilmu yang diperoleh dalam kehidupan seharian serta menjadi contoh kepada masyarakat setempat dalam mengamalkan penggunaan teknologi secara bijak dan selamat.
Dalam masa yang sama, Doris Sophia turut menyeru masyarakat Sri Aman agar terus memberikan sokongan padu kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta memberikan mandat baharu kepada GPS untuk menerajui kerajaan Sarawak demi memastikan kesinambungan pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pegawai KEMAS Sri Aman, Hazlinah Samsir, Penghulu Andar, para kaunselor serta 20 orang Tuai Rumah.
Majlis itu memperlihatkan komitmen berterusan KEMAS dalam memperkasa pendidikan masyarakat melalui pembelajaran sepanjang hayat, sekali gus melahirkan komuniti yang lebih berpengetahuan, berkemahiran dan bersedia menghadapi cabaran era digital.
Oleh Adi Safarman





