KABONG, 1 November: Penduduk Kampung Wawasan Kabong kini mempunyai lebih banyak pilihan untuk mendapatkan barangan keperluan harian menerusi pembukaan My Village Shop – SJ Niaga (Singgah Juhh Sungguh Jimat) yang mula beroperasi hari ini.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, pembukaan premis perniagaan itu merupakan satu inisiatif untuk menyediakan pelbagai pilihan barangan keperluan asas dan kelengkapan rumah kepada penduduk setempat.
Menurutnya, antara barangan yang ditawarkan termasuk makanan dan minuman, barangan keperluan harian, peralatan rumah, barangan pembersihan, peralatan dapur serta pelbagai keperluan pengguna lain.
“Kewujudan perniagaan baharu itu bukan sahaja memudahkan masyarakat mendapatkan barangan keperluan harian, malah turut mencerminkan perkembangan positif aktiviti ekonomi setempat, khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri jemputan Ngupi Santai sempena hari pertama operasi My Village Shop – SJ Niaga di Kampung Wawasan Kabong, hari ini.
Tambahnya, pembukaan premis berkenaan turut membuka peluang kepada perkembangan sektor keusahawanan, sekali gus membantu merancakkan kegiatan ekonomi di kawasan luar bandar.
Dalam pada itu, Chee Kadir merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada pihak pengurusan My Village Shop – SJ Niaga atas inisiatif membuka premis perniagaan berkenaan.
Beliau turut berharap perniagaan itu terus berkembang maju, mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat serta menjadi antara pilihan utama penduduk setempat.
“Saya berharap My Village Shop – SJ Niaga akan terus komited memberikan perkhidmatan terbaik kepada komuniti, selain menjadi antara pemangkin kepada perkembangan ekonomi di kawasan Kabong,” ujarnya.
Oleh Adi Safarman




