LCDA pemangkin utama transformasi ekonomi luar bandar Sarawak

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Douglas Uggah Embas merasmikan Program LCDA Berambeh Ke Betong sempena Sambutan 45 Tahun LCDA Bersama Komuniti di Dewan Masyarakat Spaoh. Foto Dr Richard Rapu

SPAOH, 1 November: Kerajaan Sarawak terus mempergiat agenda pembangunan luar bandar menerusi pelbagai inisiatif strategik yang memberi tumpuan kepada peningkatan pendapatan dan taraf hidup rakyat.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kerajaan negeri komited meneroka pelbagai peluang pembangunan dalam sektor pertanian, perumahan dan pembangunan bandar bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat.

Menurutnya, Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) memainkan peranan penting dalam memacu transformasi luar bandar menerusi pelaksanaan projek berimpak tinggi yang mampu merangsang pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan komuniti.

“LCDA menjadi antara pemangkin utama dalam usaha kerajaan membangunkan kawasan luar bandar menerusi projek yang mampu menjana pendapatan dan membuka peluang ekonomi kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program LCDA Berambeh Ke Betong sempena Sambutan 45 Tahun LCDA Bersama Komuniti di Dewan Masyarakat Spaoh, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Uggah yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II menegaskan bahawa sektor pertanian moden dan perniagaan tani (agri-business) perlu terus diperkasakan sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baharu negeri.

Katanya, projek seperti Agropark Lubok Tamang berpotensi menjadi pemacu utama pembangunan sektor pertanian moden, sekali gus mewujudkan peluang pendapatan yang lebih mampan kepada penduduk luar bandar.

Selain memperkukuh sektor pertanian, kerajaan turut memberi perhatian kepada pembangunan infrastruktur kampung, kedai komuniti dan Skim Pembesaran Kampung (SPK) bagi merancakkan kegiatan ekonomi setempat serta menambah baik kemudahan asas penduduk.

Dalam sektor perumahan pula, LCDA menerusi LCDA Real Estate Sdn Bhd (LRESB) akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan bandar, pembaharuan kawasan penempatan dan penyediaan rumah mampu milik bagi membantu golongan sasaran memiliki kediaman sendiri.

Uggah berkata, kerajaan merancang menyediakan rumah mampu milik berkualiti pada harga sekitar RM150,000, selain menawarkan skim diskaun bagi mengurangkan beban kewangan pembeli.

Beliau turut memaklumkan bahawa penggunaan teknologi hijau seperti tenaga solar serta penerapan konsep Bandar Pintar (Smart City) akan menjadi elemen penting dalam pembangunan penempatan baharu bagi mewujudkan komuniti luar bandar yang lebih moden, cekap dan lestari.

“Usaha ini penting bagi memastikan pembangunan seimbang antara kawasan bandar dengan luar bandar, selain menggalakkan penduduk terus menetap dan membangunkan kawasan masing-masing,” jelasnya.

Terdahulu, beliau bersama tetamu kehormat lain melawat ruang pameran agensi kerajaan yang mengambil bahagian dalam program berkenaan sebelum menyempurnakan penyampaian sumbangan tunai kepada sekolah dan rumah ibadat di kawasan Spaoh.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu, Pengurus Besar LCDA, Datu Zaidi Mahdi, Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas dan Dato Razaili Gapor.

Oleh Adi Safarman