Pergolakan politik di Semenanjung tidak pengaruhi PRN Sarawak – Karim

Facebook
WhatsApp
MENTERI Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menjelaskan pendirian beliau bahawa pergolakan politik di Semenanjung tidak akan mempengaruhi landskap Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.

KUCHING, 1 November: Pergolakan politik di beberapa negeri di Semenanjung tidak akan mempengaruhi landskap Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang kerana pendekatan politik di wilayah ini lebih mengutamakan perpaduan rakyat, kesejahteraan dan pembangunan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, situasi politik di negeri seperti Selangor, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka memperlihatkan perpecahan dalam kalangan parti politik, termasuk parti yang mewakili kaum Melayu dan Cina.

Beliau berpandangan, politik yang terlalu dipengaruhi sentimen kaum dan agama boleh menjejaskan perpaduan masyarakat, berbeza dengan pendekatan di Sarawak yang lebih menumpukan usaha pembangunan demi kepentingan seluruh rakyat.

Menurutnya, sejak menerajui Sarawak pada 2017, kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi tumpuan kepada agenda pembangunan yang merangkumi pendidikan tinggi percuma di universiti awam, pembinaan jambatan dan Lebuh Raya Pesisir, selain pengukuhan ekonomi serta pengambilalihan aset strategik.

Antara usaha berkenaan termasuk pengukuhan peranan Affin Bank, pengambilalihan Pelabuhan Bintulu serta pembangunan syarikat penerbangan AirBorneo.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Karim turut mengulas mengenai surat layang yang tular menerusi aplikasi WhatsApp, yang memaparkan beberapa nama ahli politik Sarawak, termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan menteri Kabinet, yang kononnya akan mengundurkan diri daripada arena politik.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai maklumat berkenaan kerana kesahihannya belum dapat dipastikan.

Abdul Karim turut menegaskan bahawa proses pemilihan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak dilakukan melalui penyebaran gambar atau nama individu di media sosial, sebaliknya keputusan dibuat secara dalaman sebelum diumumkan secara rasmi oleh Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Katanya, orang ramai tidak seharusnya membuat kesimpulan berdasarkan maklumat tidak rasmi yang tersebar kerana senarai calon hanya akan diketahui menerusi pengumuman rasmi kepimpinan GPS.

Abdul Karim ditemui pemberita pada hari terakhir Regata Sarawak 2026 di Tebingan Kuching, hari ini.

Oleh Afiq Sallehi