SPAOH, 1 November: Sebatang pokok mangga setinggi kira-kira 10 meter tumbang lalu menghempap bahagian dapur sebuah rumah di Kampung Hulu Spaoh, semalam, namun kejadian itu tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kerosakan struktur yang serius.
Menurut kenyataan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Spaoh, kejadian berlaku kira-kira 10.30 pagi selepas Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) APM Spaoh menerima panggilan kecemasan daripada seorang penduduk tempatan yang memaklumkan pokok berkenaan menghempap dapur rumahnya.
Susulan panggilan itu, seramai empat anggota APM daripada Skuad Charlie digerakkan ke lokasi untuk melaksanakan Operasi Pokok Tumbang.
Setibanya di lokasi, pasukan penyelamat mendapati pokok mangga bersaiz sederhana itu tumbang tepat ke arah bumbung bahagian dapur rumah berkenaan.
Anggota APM kemudian menjalankan kerja-kerja pemotongan pokok menggunakan gergaji berantai sebelum membersihkan sisa dahan dan batang pokok di kawasan sekitar dengan cermat dan terkawal.
Pemeriksaan selepas operasi mendapati struktur rumah berdinding konkrit itu tidak mengalami kerosakan serius, dengan hanya sedikit kerosakan pada bahagian hujung atap.
Operasi berjaya diselesaikan sepenuhnya pada 11.06 pagi tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Tindakan pantas anggota APM itu bukan sahaja berjaya mengalihkan pokok tumbang, malah memastikan kawasan kediaman kembali selamat, sekali gus memberi kelegaan kepada keluarga terbabit.
Oleh Adi Safarman




