LINGGA: Kebakaran belukar membabitkan kawasan kira-kira 0.8 hektar di Skim Sawah Padi Tanjung Bijat berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman, petang semalam.
Menurut kenyataan BBP Sri Aman, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 2.39 petang sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 34 kilometer dari balai.
Pasukan bomba memulakan operasi pada 3.15 petang dan mendapati kebakaran benar-benar berlaku di kawasan belukar dalam kawasan Skim Sawah Padi Tanjung Bijat.
Komander Operasi, PBK I Noor Faqriakmal, berkata pasukan menggunakan kelengkapan perlindungan diri (PPE) lengkap sebelum menjalankan penilaian keadaan dan tindakan pemadaman.
Menurutnya, sebanyak dua aliran hos sepanjang 500 kaki menggunakan pam hutan serta dua muncung (nozzle) dibentangkan dengan sumber air terbuka dari parit berhampiran.

“Operasi pemadaman berjaya dijalankan sehingga api dipadamkan sepenuhnya dan tiada lagi tanda-tanda merebak.
“Selepas memastikan keadaan selamat, pasukan bertolak balik ke balai,” menurut kenyataan itu.
Operasi yang berakhir pada 5.01 petang itu membabitkan sebuah Toyota Hilux serta sebuah jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dengan kekuatan enam anggota.
Bagaimanapun, operasi berdepan beberapa kekangan termasuk tiada liputan rangkaian komunikasi di lokasi, selain akses jalan yang hanya boleh dilalui kenderaan utiliti.
Laporan kejadian diterima daripada seorang lelaki dikenali sebagai Chelester dan disampaikan kepada PBB Frederick Bangga.
Tiada agensi lain terlibat dalam operasi berkenaan.
Oleh Adi Safarman





