MIRI, 11 November: Lebih 141,000 pergerakan penumpang direkodkan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (SRB) sepanjang suku pertama 2026, sekali gus menunjukkan kepentingan pengangkutan sungai sebagai nadi perhubungan masyarakat di negeri ini.
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, SRB turut melaksanakan 389 rondaan, 589 pemeriksaan kapal dan 57 operasi penguatkuasaan dalam tempoh berkenaan bagi meningkatkan keselamatan serta memastikan aktiviti pelayaran sungai berjalan lancar.
Menurutnya, pencapaian itu merupakan antara usaha berterusan kerajaan negeri memperkukuh sektor pengangkutan maritim dan sungai sepanjang tujuh tahun penubuhan Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS).
“Sepanjang tujuh tahun ini, kita terus memperkukuh institusi, menambah baik kerangka kawal selia, meningkatkan keselamatan pelayaran, membangunkan modal insan dan membina kerjasama lebih erat dengan pemain industri serta pihak berkepentingan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam Penghargaan Pemain dan Pemegang Taruh Industri Maritim dan Sungai 2026 di sini malam tadi.
Lee berkata, kerajaan negeri melalui MOTS juga sedang dalam proses mengambil alih bangunan Marina Awam Kuching daripada Kerajaan Persekutuan untuk dijadikan ibu pejabat baharu SRB.
Katanya, kemudahan itu akan menyediakan pangkalan khusus bagi memperkukuh fungsi pentadbiran, operasi dan kawal selia SRB.
Dalam usaha meningkatkan keselamatan pelayaran, kerajaan turut memberi tumpuan kepada pelaksanaan Sistem Pengurusan Trafik Kapal (VTMS), selain pembangunan dan penaiktarafan rumah api, boya navigasi serta kemudahan bantuan pelayaran.
Antara projek yang diberi perhatian ialah Rumah Api Kuala Baram, Tanjung Kidurong dan Tanjung Sirik.
Beliau berkata, MOTS juga terlibat secara aktif dalam kajian semula Ordinan Perkapalan Saudagar 1960 dan Ordinan Sungai-Sungai Sarawak 1993 bagi memodenkan kerangka kawal selia serta memastikan kepentingan dan autonomi perundangan Sarawak terus dilindungi.
Oleh Liong Chai Ling




