PSG belasah Slovan dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara, Liverpool tewaskan Atletico

Facebook
WhatsApp
PENYERANG Sepanyol Paris Saint-Germain (PSG), #09 Ferran Torres, melakukan rembatan dan menjaringkan gol ketiga pasukannya ketika perlawanan Liga Juara-Juara UEFA, fasa liga, hari perlawanan pertama antara Paris Saint-Germain (PSG) dan Slovan Bratislava di Stadium Parc des Princes, Paris, pada 9 September 2026. Foto AFP

PARIS, Perancis: Juara bertahan Paris Saint-Germain (PSG) memulakan kempen Liga Juara-Juara dengan bergaya apabila Ferran Torres meledak hatrik untuk membantu pasukannya membelasah Slovan Bratislava 6-1, manakala Liverpool bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Atletico Madrid.

Barcelona turut membuka kempen dengan cemerlang apabila menjaringkan lima gol ketika menewaskan Feyenoord, manakala Arsenal mencatat kemenangan 1-0 di tempat lawan menentang Napoli.

PSG, yang berharap menjadi kelab keempat memenangi tiga kejuaraan Piala Eropah berturut-turut, akan bertandang ke Manchester City sebelum menerima kunjungan Barcelona dalam dua aksi Eropah mereka seterusnya.

“Ini Liga Juara-Juara dan kami sentiasa berdepan pasukan yang sukar, tetapi kami perlu memberikan tumpuan terlebih dahulu kepada Ligue 1 kerana kami tidak memulakan saingan dengan baik,” kata Torres, dengan PSG masih belum memenangi sebarang perlawanan domestik musim ini.

PEMAIN tengah Argentina Liverpool, #10 Alexis Mac Allister (kanan), meraikan jaringan gol kedua pasukannya ketika perlawanan bola sepak Liga Juara-Juara UEFA antara Liverpool dan Atletico Madrid di Anfield, Liverpool, barat laut England, pada 9 September 2026. Foto AFP

Bagaimanapun, PSG tidak mengambil masa lama untuk memecah benteng pertahanan Slovan kendalian Yaya Toure di Parc des Princes.

Ousmane Dembele menyudahkan bola muntah untuk gol pertama sebelum menanduk masuk hantaran lintang yang terkena pemain lawan bagi meletakkan skuad kendalian Luis Enrique mendahului 2-0 dalam tempoh 22 minit.

Torres menyudahkan hantaran Dembele selepas setengah jam permainan sebelum meledak gol keduanya kurang dua minit selepas babak kedua bermula.

Wira Sepanyol pada final Piala Dunia itu melengkapkan hatrik pada minit ke-57 menerusi percubaan menggunakan lutut yang terbias sebelum bola berpusing masuk ke penjuru bawah gawang.

Suleiman Camara menjaringkan gol sagu hati buat Slovan, namun Fabian Ruiz melengkapkan kemenangan PSG pantas menyambar bola daripada kesilapan hantaran keluar pertahanan lawan.

PEMAIN sayap Brazil Barcelona, #09 Gabriel Jesus (tengah), cuba melakukan tandukan ketika perlawanan bola sepak Liga Juara-Juara UEFA pusingan pertama hari pertama antara FC Barcelona dan Feyenoord di Stadium Camp Nou, Barcelona pada 9 September 2026. Foto AFP

Liverpool pula mencatat kemenangan kedua berturut-turut selepas menewaskan Ipswich Town dalam Liga Perdana Inggeris minggu lalu, apabila mengatasi Atletico 2-1 di Anfield.

Atletico membuka jaringan pada minit ke-17 apabila Julian Alvarez, yang membuat penampilan pertama musim ini selepas gagal mendapatkan perpindahan keluar dari kelab, melakukan hantaran kepada Marcos Llorente yang menewaskan Alisson dengan sepakan lambung.

Llorente kini sudah menjaringkan lima gol dalam tiga kunjungan ke Anfield, selepas meledak dua gol ketika menentang Liverpool musim lalu dan turut menjaringkan gol dalam kemenangan dramatik Atletico pada pusingan 16 terakhir pada 2020.

Liverpool menyamakan kedudukan lima minit sebelum rehat menerusi Dominik Szoboszlai hasil hantaran tumit bijak daripada Ronald Araujo.

Alexis Mac Allister kemudian meletakkan tuan rumah di depan lima minit selepas babak kedua bermula menerusi rembatan kaki kiri dari luar kotak penalti, sebelum Atletico gagal memberikan tindak balas.

“Saya sangat menikmatinya. Suasana amat luar biasa dan saya berasa sangat bertuah dapat mengalaminya,” kata pengurus baharu Liverpool, Andoni Iraola, selepas membuat penampilan sulung sebagai jurulatih dalam Liga Juara-Juara.

Odegaard bantu Arsenal tewaskan Napoli

Arsenal mensia-siakan beberapa peluang pada separuh masa pertama di Stadio Armando Diego Maradona, dengan penjaga gol Napoli, Alex Meret, melakukan aksi cemerlang untuk menafikan tandukan Mikel Merino.

Piero Hincapie turut gagal menyudahkan peluang keemasan dari jarak hanya kira-kira tiga ela ketika juara England itu terus mengasak selepas rehat, namun naib juara musim lalu akhirnya membuka jaringan ketika perlawanan berbaki 15 minit.

PEMAIN pertahanan Brazil Arsenal, #06 Gabriel (kiri), dan penyerang Denmark Napoli, #19 Rasmus Højlund (tengah), melompat untuk menanduk bola ketika perlawanan bola sepak Liga Juara-Juara UEFA – Fasa Liga, Hari Perlawanan 1 antara Napoli dan Arsenal di Stadium Diego Armando Maradona, Naples pada 9 September 2026. Foto AFP

Martin Odegaard, yang menjaringkan gol kemenangan ketika menentang Chelsea pada hujung minggu, melakukan gerakan satu-dua bijak bersama Christos Tzolis di pinggir kotak penalti sebelum melepaskan rembatan yang terkena tiang jauh dan menerjah gawang.

Barcelona pula memulakan kempen mereka untuk menamatkan penantian 12 tahun bagi menjulang trofi dengan cemerlang apabila Raphinha meneruskan prestasi hebatnya dengan menjaringkan dua gol dalam kemenangan besar 5-1 ke atas Feyenoord.

Skuad kendalian Hansi Flick, yang tewas kepada Atletico pada suku akhir musim lalu, telah memenangi kesemua lima perlawanan dalam semua pertandingan musim ini, termasuk menjaringkan sekurang-kurangnya lima gol dalam empat daripadanya.

“Kami mengawal permainan, kami mendominasi dan ini sesuatu yang hebat untuk dilihat. Inilah gaya kami dan cara kami mahu bermain,” kata Flick.

Raphinha meletakkan Barcelona di depan pada minit ketiga sebelum pemain yang baru menyertai kelab itu pada musim panas, Karim Adeyemi, meledak gol menakjubkan dari jarak jauh.

Pemain Brazil itu, yang beraksi sebagai penyerang musim ini selepas pemergian Robert Lewandowski dan Torres, menjadikan jumlah jaringan musim ini kepada lapan gol menerusi jaringan pada babak kedua.

Lamine Yamal menjaringkan gol menerusi sepakan percuma yang melepasi benteng pertahanan, dan walaupun Sem Steijn merapatkan jurang buat Feyenoord, Gabriel Jesus yang masuk sebagai pemain gantian kemudian menanduk masuk gol pertamanya bersama Barcelona.

Ermedin Demirovic meledak hatrik pada babak pertama ketika Stuttgart mudah mencatat kemenangan 3-1 di laman sendiri ke atas juara Norway, Viking, yang membuat penampilan dalam pertandingan itu buat kali pertama dalam tempoh 34 tahun.

Sporting, yang mara ke suku akhir musim lalu buat kali pertama sejak 1983, bangkit untuk menewaskan Galatasaray 3-1 di Lisbon. – AFP