22 anggota JPJ Betong jalani saringan dadah, semua negatif

Facebook
WhatsApp
SERAMAI 22 anggota JPJ Cawangan Betong menjalani ujian saringan air kencing menerusi Program Tempat Kerja Bebas Dadah dengan kerjasama AADK Daerah Betong, hari ini. Foto: JPJ Betong

BETONG: Seramai 22 anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Betong menjalani ujian saringan air kencing menerusi Program Tempat Kerja Bebas Dadah dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Betong, hari ini.

Menurut kenyataan media JPJ Sarawak, program berkenaan dilaksanakan sebagai usaha meningkatkan kesedaran serta memperkukuh komitmen warga kerja terhadap pencegahan penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang di tempat kerja.

Kesemua 22 anggota yang menjalani saringan berkenaan mencatatkan keputusan negatif, sekali gus mencerminkan komitmen warga JPJ Cawangan Betong dalam memastikan persekitaran kerja sentiasa bebas daripada pengaruh dadah.

SARINGAN… Seramai 22 anggota JPJ Cawangan Betong menjalani ujian saringan air kencing menerusi Program Tempat Kerja Bebas Dadah dengan kerjasama AADK Daerah Betong, hari ini. Foto: JPJ Sarawak

Program turut merangkumi sesi taklimat bertajuk ‘Tempat Kerja Bebas Dadah’ yang disampaikan oleh pihak AADK Bahagian Betong, dengan penekanan terhadap kepentingan pencegahan penyalahgunaan dadah serta kesannya terhadap individu dan organisasi.

Kerjasama kedua-dua agensi itu dilihat penting dalam memperkukuh usaha pencegahan serta pemantauan secara berterusan bagi membentuk warga kerja yang berintegriti, berdisiplin, sihat dan bebas daripada penyalahgunaan dadah.

JPJ Sarawak turut merakamkan penghargaan kepada AADK Bahagian Betong atas kerjasama serta perkongsian ilmu dan kesedaran yang diberikan kepada warga JPJ Cawangan Betong.

Inisiatif seumpama itu diharapkan dapat diteruskan dari semasa ke semasa sebagai langkah pencegahan bagi memastikan tempat kerja kekal selamat, sihat dan bebas daripada pengaruh dadah serta bahan terlarang.

Turut hadir, Ketua Daerah AADK Betong, Jainah John dan Ketua Cawangan JPJ Betong, Jeffery Alfrida.

Oleh Adi Safarman