SIBU: Sukarelawan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) terus menjadi antara tonggak penting dalam membantu masyarakat ketika berdepan bencana dan kecemasan.
Pengerusi BSMM Cawangan Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam berkata, dedikasi sukarelawan tanpa mengira usia, pekerjaan dan latar belakang menjadi kekuatan utama organisasi itu dalam melaksanakan misi kemanusiaan.
Menurutnya, sepanjang tahun lalu, sukarelawan BSMM Sarawak memberi khidmat dalam pelbagai situasi termasuk membantu mangsa banjir di pusat pemindahan, mengagihkan bantuan, menyediakan pertolongan cemas serta menyokong keluarga yang kehilangan tempat tinggal dan harta benda.
“Ketika berdepan kesukaran, kehadiran anda bukan sahaja membawa bantuan praktikal tetapi juga harapan dan keyakinan kepada mereka yang memerlukannya,” ujarnya ketika berucap pada Malam Penghargaan Sukarelawan BSMM Cawangan Sarawak 2026.
Selain tindak balas bencana, katanya, sukarelawan BSMM turut menyediakan khidmat pertolongan cemas di pelbagai program termasuk pertandingan sukan, maraton, aktiviti komuniti, sekolah dan program awam, yang mencerminkan tahap profesionalisme serta kesiapsiagaan mereka.

“Walaupun orang ramai sering menyedari kewujudan kita ketika berlaku kecemasan, mereka mungkin tidak menyedari banyak masa dihabiskan untuk persediaan, latihan dan komitmen di sebalik setiap tugasan yang berjaya dilaksanakan,” katanya.
Chan berkata, pendidikan pertolongan cemas turut menjadi komponen penting kerja kemanusiaan BSMM menerusi kursus kepada sekolah, agensi kerajaan, syarikat dan orang awam bagi membina komuniti yang lebih selamat dan berdaya tahan.
Beliau berkata, kempen derma darah kekal sebagai antara perkhidmatan utama BSMM kerana hospital bergantung kepada penderma darah sukarela bagi membantu menyelamatkan nyawa pesakit, selain menghargai sukarelawan yang menggerakkan kempen serta meningkatkan kesedaran awam.
Menurutnya, BSMM Sarawak turut meneruskan komitmen terhadap kelestarian alam sekitar menerusi program penanaman pokok sebagai pelaburan untuk masa depan yang lebih sihat dan selamat.
Chan berkata, tugas sukarelawan bukan sentiasa mudah kerana ramai mempunyai pekerjaan, perniagaan, pengajian dan tanggungjawab keluarga, namun mereka tetap sanggup meluangkan masa pada waktu malam, hujung minggu dan cuti umum untuk membantu masyarakat.
Beliau mengingatkan sukarelawan supaya tidak memandang rendah sumbangan mereka kerana tindakan kecil seperti memberikan pertolongan cemas, menenangkan mangsa atau membantu dalam kempen derma darah mampu memberi kesan besar kepada kehidupan seseorang.
Chan turut menggalakkan sukarelawan muda supaya terus menimba ilmu, meningkatkan kemahiran dan memikul tanggungjawab lebih besar, manakala sukarelawan senior diminta terus membimbing generasi baharu.
Pada majlis berkenaan, sejumlah sukarelawan menerima anugerah sebagai pengiktirafan terhadap perkhidmatan cemerlang mereka.
Chan berkata, penghargaan itu bukan ukuran sebenar nilai sumbangan kerana setiap sukarelawan memainkan peranan penting dalam memperkukuh organisasi dan komuniti.
Beliau berharap BSMM Sarawak terus memperkukuh usaha merekrut sukarelawan, meningkatkan keupayaan tindak balas kecemasan, memperluas pendidikan pertolongan cemas, menggalakkan derma darah serta meneruskan inisiatif alam sekitar sambil merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menyokong gerakan kemanusiaan itu.
Turut hadir wakil Timbalan Premier Sarawak dan Menteri Kesihatan Awam Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Kaunselor Kevin Lau; wakil Timbalan Menteri Kesihatan Awam Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang, Boston Ho; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan Dato Sri Wong Soon Koh; Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling,; Naib Pengerusi BSMM Sarawak John Lam dan Stanley Liew; Pengarah BSMM Sarawak Chai King Sing; Penasihat BSMM Cabang Sibu Dato Lau Ngie Hua; dan Pengerusi BSMM Cabang Sibu Penghulu Chua Hiong Kee.
Oleh Akun Giman





