Sukan erat perpaduan komuniti, masyarakat diingatkan jaga kesihatan ketika jerebu

Facebook
WhatsApp
UCAPAN…Senator Dato’ Ahmad Ibrahim ketika berucap pada Pertandingan Badminton Tertutup Piala Ketua Kaum di Dewan Serbaguna Kampung Sinar Budi Baru, Batu Kawa, hari ini.

KUCHING: Program sukan di peringkat komuniti bukan sahaja menjadi platform untuk mencungkil bakat dan menggalakkan gaya hidup sihat, malah berperanan penting dalam mengeratkan hubungan sesama penduduk.

Perkara itu disampaikan Senator Dato’ Ahmad Ibrahim ketika menjayakan Pertandingan Badminton Tertutup Piala Ketua Kaum di Dewan Serbaguna Kampung Sinar Budi Baru, Batu Kawa, hari ini.

Ahmad berkata, pertandingan berkenaan bukan sekadar untuk menentukan pemenang, sebaliknya lebih penting dalam membina semangat kebersamaan menerusi aktiviti sukan.

“Di atas gelanggang, kita belajar disiplin, fokus, kerjasama, ketahanan mental dan semangat kesukanan.

“Menang memang menjadi sasaran setiap pemain, tetapi bagaimana kita membawa diri ketika menang dan bagaimana kita menerima kekalahan juga mencerminkan peribadi kita,” katanya.

PERTANDINGAN Badminton Tertutup Piala Ketua Kaum di Dewan Serbaguna Kampung Sinar Budi Baru, Batu Kawa, yang menjadi platform menggalakkan gaya hidup sihat serta mengeratkan hubungan dan perpaduan dalam kalangan komuniti setempat.

Beliau turut mengingatkan peserta supaya mengutamakan keselamatan, khususnya mereka yang berusia 40 tahun ke atas, sudah lama tidak aktif bersukan atau baharu kembali menyertai aktiviti fizikal.

Katanya, sukan badminton melibatkan pergerakan mengejut seperti melompat, berhenti secara tiba-tiba dan menukar arah dengan pantas yang boleh meningkatkan risiko kecederaan sekiranya tidak melakukan persediaan sewajarnya.

“Buat pemanasan badan, jangan terus bermain seperti umur 20 tahun dahulu. Jaga langkah, lutut, buku lali dan badan kita. Kalau penat, berehat dan kalau sakit, jangan paksa,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad turut mengingatkan masyarakat supaya terus mengambil langkah berjaga-jaga susulan keadaan jerebu yang masih dirasai.

Menurutnya, hujan pada malam sebelumnya mungkin membantu mengurangkan keadaan jerebu pada pagi ini, namun masyarakat tidak seharusnya menganggap keadaan sudah pulih sepenuhnya.

Beliau menggalakkan orang ramai supaya minum air secukupnya, menjaga kesihatan serta mengurangkan aktiviti luar yang tidak perlu ketika kualiti udara kurang baik.

“Masyarakat juga dinasihatkan mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala seperti sesak nafas, sakit dada, batuk berterusan, pening atau rasa tidak sihat,” katanya.

SENATOR Dato’ Ahmad Ibrahim ketika menjayakan program dan menyampaikan hadiah kepada peserta program.

Ahmad turut menggesa perokok dan pengguna vape supaya mempertimbangkan untuk berhenti seketika sepanjang tempoh jerebu kerana udara tercemar sudah memberi beban tambahan kepada paru-paru.

Beliau berkata, program sukan serta penyediaan kemudahan seperti dewan dan gelanggang turut penting dalam menyediakan ruang kepada golongan muda untuk berinteraksi secara bersemuka, bersukan dan membina keyakinan diri.

Katanya, pembangunan sesebuah kawasan tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan jalan raya, bangunan dan infrastruktur, sebaliknya pembangunan masyarakat serta hubungan sesama manusia juga perlu diberi perhatian.

“Apabila penduduk saling mengenali, saling membantu dan aktif bersama-sama, kita akan mempunyai komuniti yang lebih kuat dan harmoni,” katanya.

Beliau berharap JKKK Kampung Sinar Budi Baru dan masyarakat setempat terus menganjurkan lebih banyak aktiviti sukan, belia, kekeluargaan serta kemasyarakatan pada masa akan datang.

Ahmad turut merakamkan penghargaan kepada KK Wain, JKKK Kampung Sinar Budi Baru serta seluruh jawatankuasa penganjur atas usaha menjayakan pertandingan berkenaan.

“Menang atau kalah, yang penting kita pulang dengan persahabatan yang lebih erat, pengalaman yang baik dan dalam keadaan sihat.

“Jaga keselamatan, jaga kesihatan, jaga semangat kesukanan dan teruskan semangat Segulai Sejalai,” katanya. Turut hadir, Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Cr Tan Kai yang mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian; Ketua Kaum Kampung Sinar Budi Baru, KK Wain Sulaiman; barisan JKKK, peserta dan penduduk setempat.