Indonesia perhebat usaha tangani kebakaran hutan cetus jerebu berbahaya

Facebook
WhatsApp
FOTO udara menunjukkan kawasan yang terjejas akibat kebakaran hutan di Kapuas Hulu, Kalimantan Barat pada 4 September 2026. - Foto AFP

JAKARTA, Indonesia: Jerebu akibat kebakaran hutan menyebabkan kualiti udara mencapai tahap berbahaya di beberapa kawasan di Borneo, menurut pihak berkuasa Indonesia, ketika ribuan anggota dikerahkan untuk memadamkan kebakaran berkenaan.

Kepulauan luas di Asia Tenggara itu telah berusaha selama beberapa minggu untuk membendung kebakaran hutan dan jerebu tebal yang merebak hingga ke Malaysia, Singapura dan Filipina.

Di wilayah Kalimantan Barat, antara kawasan yang paling terjejas, jerebu akibat kebakaran menyebabkan kualiti udara merosot ke tahap berbahaya, dengan jarak penglihatan kurang daripada satu kilometer, kata jurucakap Agensi Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Berton Suar Pelita Panjaitan.

PENYELARAS pertanian Sangga Bumi Lestari, Kristoforus Sinyong (kanan), dan kakitangan pemulihan serta pertanian regeneratif, Hidayat (kiri), menyediakan peralatan untuk memerangi kebakaran hutan di Kapuas Hulu, Kalimantan Barat pada 4 September 2026. Foto AFP

Beliau berkata lebih 14,000 anggota bomba dikerahkan di wilayah berkenaan dan berjaya memadamkan kebakaran yang meliputi hampir 430 hektar.

“Perhatian kami terhadap Kalimantan Barat amat besar berikutan kawasan tanah gambut yang terbakar memerlukan pengendalian dan pemantauan lebih lama, termasuk proses penyejukan bagi memastikan kebakaran tidak kembali berlaku.”

Di wilayah Kalimantan Tengah pula, pihak berkuasa berjaya memadamkan kebakaran yang meliputi kawasan seluas 197 hektar di seluruh wilayah berkenaan, kata Berton.

Beliau berkata dron terma turut digunakan bagi mengenal pasti lokasi kebakaran bawah tanah.

Kualiti udara di wilayah itu direkodkan pada tahap tidak sihat, dengan jarak penglihatan kurang daripada 2.5 kilometer, katanya.

KEBAKARAN yang melanda wilayah Kalimantan Barat dan mengakibatkan jerebu toksik hingga ke Malaysia itu bermula bulan lalu, sekali gus menggerakkan ratusan anggota bomba sukarela. Foto AFP

Sekolah di kedua-dua wilayah berkenaan ditutup, manakala sesi pembelajaran dilaksanakan secara dalam talian, katanya.

Indonesia mempunyai kawasan tanah gambut tropika yang luas, iaitu ekosistem yang terdiri daripada lapisan bahan organik yang mengalami pereputan separa.

Tanah gambut menjadi penyimpan karbon penting apabila basah, namun mudah terbakar apabila kering. Kebakaran juga boleh terus membara di bawah permukaan tanah dan kembali merebak dengan cepat.

Di Malaysia, peningkatan mendadak tahap pencemaran udara mendorong kerajaan mengisytiharkan darurat di sebuah bahagian di Sarawak, Borneo, menurut pejabat Perdana Menteri.

Pengisytiharan itu meliputi Bahagian Serian dan menyaksikan sebanyak 647 sekolah ditutup mulai Isnin sehingga sekurang-kurangnya akhir minggu depan.

Langkah itu dibuat selepas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak secara rasmi memohon pengisytiharan berkenaan susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Serian melepasi paras kritikal 500, dengan bacaan tertinggi 519 direkodkan. – AFP