MAKKAH, 25 Oktober: Peta interaktif Masjidil Haram dan Masjid Nabawi membolehkan pengunjung menerokai mercu tanda, kemudahan dan perkhidmatan serta mengatur perjalanan ke destinasi mereka dengan mudah menerusi laman digital yang tersedia dalam tujuh bahasa, lapor Agensi Akhbar Saudi (SPA).
Menurut Pihak Berkuasa Am bagi Penjagaan Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, peta itu memaparkan lebih 950 tempat menarik dan lebih 100,000 laluan, disusun dalam 17 kategori.
Ia juga termasuk lebih 650 kod QR dan enam skrin interaktif yang dipasang di lapangan, memudahkan akses untuk maklumat lokasi dan perkhidmatan yang tersedia.

Peta berkenaan merangkumi mercu tanda seperti Kaabah, Makam Ibrahim dan Al-Safa dan Al-Marwa di Masjidil Haram, serta Rawdah Al-Sharifah, Dewan Nabi, mihrab solat dan mimbar Nabi di Masjid Nabawi, berserta mercu tanda dan kemudahan lain.
Peta tersebut merupakan sebahagian usaha pihak berkuasa untuk memanfaatkan teknologi moden bagi meningkatkan perkhidmatan digital, memudahkan perjalanan dan membantu pelawat sampai ke destinasi mereka mengikut keperluan individu dan bahasa pilihan mereka.
Pelawat boleh mengakses peta interaktif menerusi pautan https://alharamain.gov.sa/public/?page=interactive_maps_en – Bernama-SPA





