Enjin hidrogen pertama dunia untuk kapal besar kurangkan 95 peratus pembebasan CO2

Facebook
WhatsApp
ILUSTRASI artis menunjukkan sebuah kapal yang dilengkapi enjin berkuasa hidrogen. (Foto ihsan Japan Engine Corp.)

OSAKA, 25 Oktober: Sebuah pengeluar enjin marin Jepun telah membangunkan enjin bahan api hidrogen pertama di dunia untuk kapal komersial besar, yang mampu mengurangkan pelepasan karbon dioksida lebih 95 peratus berbanding enjin minyak bahan api berat konvensional, lapor Kyodo News.

Enjin oleh Japan Engine Corp diperkenalkan pada awal September dan akan dipasang pada kapal serba guna yang akan dibina oleh Onomichi Dockyard Co, dengan Mitsui O.S.K. Lines Ltd dijangka memulakan ujian demonstrasi pada April 2028.

Enjin tersebut menggunakan sistem suntikan terus bertekanan tinggi untuk membolehkan pembakaran hidrogen yang stabil dan melaksanakan langkah keselamatan seperti paip berdinding dua lapis untuk saluran bekalan hidrogen memandangkan unsur kimia itu cenderung mengalami kebocoran dan sangat mudah terbakar.

Pada Ogos tahun lepas, Japan Engine, yang berpangkalan di Akashi di barat Prefektur Hyogo, Jepun, juga telah menyiapkan apa yang dipanggil enjin pertama di dunia dengan bahan api ammonia komersial.

Walaupun adanya harapan tinggi untuk kedua-dua hidrogen dan ammonia menjadi bahan api generasi akan datang bagi kapal komersial besar, cabaran masih ada termasuk kos tinggi dan penerimaan yang perlahan bagi ammonia manakala hidrogen yang berciri toksik memerlukan langkah keselamatan yang ketat.

Pertubuhan Maritim Antarabangsa telah menetapkan sasaran pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050 dan kerajaan Jepun menyokong usaha tersebut.- Bernama-Kyodo