WINDHOEK, 25 Oktober: Kebakaran hutan telah menjejaskan 3,513 kilometer (km) persegi, atau kira-kira 16 peratus, Taman Negara Etosha Namibia dalam musim kebakaran semasa, menurut Kementerian Alam Sekitar, Perhutanan dan Pelancongan pada Sabtu, lapor Xinhua.
Panas melampau dan angin kencang menghalang usaha memadam kebakaran di taman itu walaupun tiada kematian manusia atau hidupan liar dilaporkan setakat Sabtu, menurut kementerian.
Menurut angka awal yang dikeluarkan kementerian, kebakaran menjejaskan 926 km persegi taman pada Oktober berbanding 2,587 km persegi pada September, menjadikan jumlah kawasan terjejas 3,513 km persegi.
Hampir 80 kakitangan termasuk anggota Angkatan Pertahanan Namibia, wakil konservasi jiran dan pekerja ladang, menjalankan pemadaman di pelbagai bahagian taman itu sejak 20 Oktober, tambah kementerian.
Kementerian itu memberi amaran bahawa suhu sehingga 45 darjah Celsius dan angin mencecah 20 km sejam pada Sabtu boleh menyebabkan kembali api marak sekali gus menghalang usaha pembendungan.
Sementara itu, Perkhidmatan Meteorologi Namibia memberi amaran bahawa gelombang haba, dengan suhu antara 36 hingga 42 darjah Celsius, akan berterusan di kebanyakan kawasan di negara itu sepanjang hujung minggu.
Perkhidmatan cuaca menjelaskan haba melampau itu berpunca daripada sistem tekanan tinggi yang kuat di utara Namibia yang secara beransur-ansur beralih ke bahagian tengah negara, menyebabkan udara menurun menjadi panas dengan cepat.
Tahun lepas, kebakaran hutan menjejaskan 37 peratus Taman Negara Etosha, salah satu kawasan perlindungan hidupan liar terbesar dan paling terkenal di Afrika serta asas kepada sektor pemuliharaan dan pelancongan Namibia.- Bernama-Xinhua




