SEOUL: BTS semakin mengukuhkan kedudukan sebagai antara kuasa utama dalam pasaran jelajah konsert global selepas menjana pendapatan AS$125 juta (kira-kira RM504 juta) menerusi lapan persembahan.
Kumpulan itu menduduki tempat kedua dalam carta “Top Tours” Billboard bagi Julai menerusi jelajah dunia “Arirang”, sekali gus menjadi artis ketiga selepas Beyoncé dan Bad Bunny yang merekodkan pendapatan jelajah bulanan melebihi AS$100 juta (RM404 juta) dalam beberapa bulan.
Menurut Billboard, BTS mencatat jualan AS$433.2 juta (kira-kira RM1.75 bilion) dan menjual 2.3 juta tiket bagi 38 persembahan setakat 11 Ogos.
Secara purata, setiap konsert menarik kira-kira 60,000 penonton dan menjana AS$11.4 juta, manakala keseluruhan jelajah setakat ini merangkumi 88 konsert di 34 bandar dan dijadualkan berterusan sehingga Mac tahun depan.
Di Eropah, konsert BTS di Stade de France, Paris, pada Julai menarik 185,000 peminat dan menjana AS$30.6 juta daripada jualan tiket. Lapan persembahan di empat bandar Eropah pula menjual 582,000 tiket.
Kejayaan jelajah itu turut memberi kesan kepada ekonomi bandar penganjur menerusi peningkatan perbelanjaan peminat dalam sektor penginapan, makanan, peruncitan dan pelancongan.
NH Investment & Securities menganggarkan kesan ekonomi keseluruhan jelajah dunia BTS, termasuk aktiviti berkaitan, mencecah kira-kira lapan trilion won.
Sementara itu, kejayaan konsert turut merancakkan penggunaan muzik BTS apabila album “Arirang” kekal dalam carta UK Official Albums Top 100 selama 23 minggu berturut-turut, manakala lagu “Swim” berada dalam kelompok 10 teratas carta global Spotify bagi tempoh sama.
Jelajah “Arirang” dilihat mengubah penanda aras kejayaan K-pop apabila pencapaian artis kini bukan sahaja diukur berdasarkan jualan album dan kedudukan carta, tetapi turut berdasarkan keupayaan menarik peminat merentasi sempadan serta menjana aktiviti ekonomi di bandar penganjur.- AGENSI




