PENGALAMAN pertama menghiburkan ribuan peminat e-sukan memberikan Jaclyn Victor perspektif baharu tentang potensi besar industri itu dalam merancakkan sektor kreatif negara.
Penyanyi yang terkenal dengan kehebatan vokal bernada tinggi itu mengakui tidak pernah menyangka kejohanan e-sukan mendapat sambutan begitu luar biasa, selain turut membuka ruang kepada persembahan muzik serta penglibatan penggiat seni.
“Saya berpendapat e-sukan satu pelantar yang bagus, bukan sahaja untuk mereka yang berminat untuk bermain, tetapi juga bagi industri kreatif, kerana apabila kita ada acara seperti ini kita perlukan pengacara, kru, produksi dan lain-lain. Macam saya menyanyi, jadi perlukan penggiat muzik profesional bagi menggubah lagu dan menyusun lagu.
“Dengan kata lain, ada banyak peluang pekerjaan daripada acara ini. Justeru, saya fikir program seperti ini harus diteruskan,” katanya kepada Bernama selepas membuat persembahan di pentas CelcomDigi Dream Stage bersempena dengan Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang (MPL) Malaysia Musim ke-18 baru-baru ini.

Bagi pelantun lagu Gemilang ini sokongan luar biasa peminat terhadap pasukan bertanding menjadi antara perkara yang paling mencuri perhatiannya sepanjang acara itu berlangsung.
“Sejujurnya, saya memang terkejut, kerana saya tidak tahu bidang ini merupakan sesuatu yang hebat. Bila saya menyanyi di atas pentas, saya dapat lihat ramai sekali peminat yang datang untuk beri sokongan,” katanya.
Dalam pada itu, Jaclyn turut mengucapkan tahniah kepada Selangor Red Giants (SRG) dan Team Rey yang berjaya mengesahkan tempat ke Kejohanan Dunia M8 di Istanbul, Turkiye tahun depan.
Penyanyi itu turut mengharapkan kedua-dua pasukan berkenaan dapat mempamerkan aksi terbaik, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia. – Bernama





