KUALA LUMPUR, 4 November: Pereka fesyen tempatan perlu lebih berani meneroka sempadan kreativiti dalam menghasilkan rekaan fesyen sopan agar industri itu dapat terus berkembang dan berdaya bersaing di peringkat antarabangsa.
Pengasas dan Pengerusi Islamic Fashion Festival (IFF) Datuk Seri Raja Rezza Shah berkata fesyen sopan di Malaysia masih banyak tertumpu pada pakaian tradisional seperti kebaya dan baju kurung, berbanding Indonesia yang disifatkan beliau lebih berani meneroka kepelbagaian rekaan.
“Saya rasa orang Indonesia lebih berani menggayakan fesyen daripada orang Malaysia. Pereka fesyen pula melihat pada permintaan. Kalau mereka hendak menghasilkan rekaan tetapi orang tidak beli, susah juga.
“Jadi, saya rasa permintaan daripada penggemar fesyen di Indonesia mendorong pereka mereka menjadi lebih kreatif,” katanya kepada pemberita selepas sidang media IFF Kuala Lumpur 2026, di sini semalam.

Beliau berkata pereka fesyen Indonesia termasuk bukan Islam mampu menghasilkan busana Muslimah yang lengkap, sekali gus menyumbang kepada kepelbagaian kreativiti dalam industri fesyen sopan negara jiran itu.
Berkongsi perjalanan IFF yang kini menyambut ulang tahun ke-20, Raja Rezza Shah berkata identiti tersendiri serta kesediaan melakukan pembaharuan menerusi pertukaran tema, lokasi dan konsep persembahan menjadi antara faktor festival itu mampu bertahan sejak diperkenalkan pada 2006.
Beliau berkata festival itu yang pernah mengadakan pertunjukan di empat benua iaitu Asia, Eropah, Amerika dan Afrika, turut bersedia memasuki fasa baharu dengan pelbagai pembaharuan bagi memastikan penganjurannya terus relevan seiring dengan perubahan zaman.
Dalam pada itu, mengulas IFF Kuala Lumpur 2026 yang akan berlangsung dari 21 hingga 23 November di Mandarin Oriental Kuala Lumpur, beliau berkata penganjuran kali ini mengangkat tema “Peranakan The Golden Era” bagi meraikan keunikan warisan Peranakan.

Menurut beliau, pemilihan tema itu memberi kebebasan kepada 24 pereka fesyen dari Malaysia dan Indonesia untuk menterjemahkan warisan Peranakan menerusi elemen warna, sulaman dan potongan busana mengikut kreativiti masing-masing.
“Peranakan bukan sahaja merujuk Cina Peranakan, tetapi turut merangkumi percampuran budaya India dan Arab, contohnya, kebaya nyonya asal sebenarnya labuh hingga kaki dan lebih menutup tubuh berbanding kebaya pendek yang kita lihat hari ini. Jadi, saya serahkan kepada pereka fesyen untuk menginterpretasikan tema ini mengikut kreativiti masing-masing,” katanya.
Pereka tempatan yang mengambil bahagian dalam pertunjukan ke-49 IFF itu antaranya ialah Abu Shaef Hamza, Rizman Ruzaini, Datuk Radzuan Radziwill, Ezuwan Ismail, Tom Abang Saufi, Calvin Thoo dan Shanell Harun, manakala Indonesia diwakili antaranya Ghea Panggabean, Jeny Tjahyawati, Lina Sukijo, Malek Moestaram dan Evi Susanti.
Selain itu, festival juga akan dimeriahkan dengan persembahan sembilan artis undangan termasuk Zehra Zambri, Liza Aziz, Nadeera dan Haziq Rosebi serta dua kumpulan tarian, dengan Datin Elaine Daly dan Malek McCrone sebagai pengacara.- Bernama





